Saturday, January 26, 2013

Gagalkah Aku Sebagai Pemimpin?

With the name of Allah the Most Gracious the Most Merciful
Salam alaik to all readers…
“Pemimpin”, mungkin ada yang suka bergelar pemimpin. Namun hakikatnya menjadi pemimpin bukanlah anugerah. Pemimpin sebenarnya adalah orang yang bekerja. Kita sering melihat seorang pemimpin gagal menjalankan peranan sebaiknya sebagai seorang pemimpin. Maaf, saya tak berminat untuk mengkritik sesiapa dalam entri saya kali ini. Saya cuma ingin berkongsi pandangan orang bawahan terhadap mereka yang berada di tampuk kepimpinan.
Sebelum itu penting untuk kita semua jelas, tahap kepimpinan seseorang individu adalah berbeza dengan orang lain. Andai kepimpinan seseorang itu lemah, itu bukan bermakna dia harus menolak segala tanggungjawab. Dalam Islam ada ciri-ciri yang perlu diutamakan dalam persoalan memilih pemimpin.  Jika dibaca dalam buku-buku psikologi dan kepimpinan, sebenarnya kepimpinan adalah suatu proses. Mungkin ada insan yang dilahirkan dengan ciri-ciri yang melayakkan dia memikul tugas sebagai seorang ketua atau pemimpin. Namun, di suatu sudut yang lain, kepimpinan adalah satu proses yang boleh dipelajari. Malahan, setiap orang perlu sentiasa belajar untuk menambah nilai terhadap diri sendiri dalam apa jua aspek.
Di dalam sebuah buku, “Menjadi Pemimpin” hasil penulisan Azizan Bahari ada mendefinisikan kepimpinan. “Kepimpinan ialah satu proses mempengaruhi orang-orang lain untuk memahami dan menyetujui tentang apa yang perlu dilakukan dan bagaimana melakukannya, dan proses memudahkan usaha-usaha individu dan kolektif mencapai tujuan-tujuan bersama” (Yulk, 2006). Di sini saya hanya ingin mengupas perkara asas dalam memimpin.
Pemerhatian saya
Apa yang saya perhatikan kebanyakan orang yang saya jumpa berfokus kepada gerak kerja berbanding mempengaruhi orang yang dipimpin untuk melaksanakan gerak kerja. Sebagai contoh, anda memberi suatu tugas kepada orang bawahan anda. Namun, jika anda gagal menghubungi atau sukar mendapat maklum balas, apa yang anda lakukan? Daripada pemerhatian saya, ramai yang memilih untuk memudahkan urusan iaitu dengan melaksanakan tugas itu sendiri atau melantik orang lain. Maaf untuk saya katakan, tindakan ini adalah tidak adil. Dalam situasi lain, jika orang yang anda tugaskan gagal menyelesaikan tugasan, apakah tindakan anda? Anda mungkin mengatakan “anda sepatutnya menyiapkannya minggu lepas, kenapa anda tidak menyiapkannya?”, “anda mesti siapkan hari ini juga” ataupun “anda tidak menjalankan tanggungjawab anda dengan baik”. Dalam situasi ini, adalah lebih baik jika kita dapat menggunakan kata-kata yang lebih baik. Sebagai contoh, “adakah anda mempunyai masalah atau kesukaran dalam menyelesaikan tugas”, “adakah apa-apa yang boleh saya bantu”, ataupun “adakah anda sihat? bilakah anda dapat menyiapkan tugasan itu”.
Peranan seorang pemimpin
Seandainya saya merupakan pemilik syarikat perniagaan dan saya adalah pemimpinnya, apabila berhadapan dengan pekerja yang bermasalah, kemungkinan besar saya juga akan memilih untuk mencari pekerja yang lebih baik kerana ia berkait rapat dengan keuntungan syarikat. Tetapi sebelum itu saya akan berusaha mencari tahu masalah pekerja dan cuba memotivasikannya terlebih dahulu. Jika hasil yang saya terima adalah sememangnya pekerja itu bermasalah, barulah adil untuk saya mengambil langkah seperti itu. Namun, jika pekerja mempunyai masalah lain yang menghalang dia bekerja dengan baik, pada saya itu merupakan tanggungjawab saya untuk membantu dia menyelesaikannya.
Tapi, berbeza pula jika kita bekerja dalam satu organisasi yang lain. Sebagai contoh, sebagai pelajar universiti saya melihat banyak peluang untuk setiap orang memperbaiki skil dalam memimpin. Sebagai contoh, seorang pensyarah dengan mahasiswa mahupun dalam gerak kerja persatuan atau gerak kerja dakwah. Di sini bukanlah saya ingin mengkritik mereka yang terlalu mudah mengambil jalan lain kerana saya faham setiap orang mempunyai tahap kesabaran dan sikap yang berbeza. Di sinilah yang saya maksudkan masih banyak yang boleh diperbaiki. Kalau sikap kita yang kurang sabar, mudah berburuk sangka dan sebagainya, itulah yang perlu kita perbaiki. Saya mengaku saya sendiri masih berusaha memperbaiki sikap saya.
Jalan tengah
Kepimpinan adalah satu proses yang mana setiap orang masih perlu belajar. Kadang-kadang berjaya atau gagalnya seseorang itu memimpin juga bergantung kepada orang-orang yang dipimpinnya. Setiap orang berbeza pemikirannya.  Yang penting setiap orang harus berusaha memperbaiki diri. Apabila seseorang bergelar pemimpin, dia harus ingat, ada mata yang sedang memerhati. Anda gagal sekiranya menganggap pandangan orang perlu diabaikan. Terima kritikan membina dan cuba ubah mana yang mampu. Jika anda sudah melakukan yang terbaik, takpe Allah tahu. Mungkin masih belum sempurna, teruskan berusaha memperbaiki kelemahan yang ada.  Tapi harus diingat, tiada manusia yang sempurna. Walau sekuat mana kita berusaha, mungkin juga masih belum sempurna di mata orang.
Senang cerita, ini analoginya. Seorang kanak-kanak lelaki berjalan dengan ayahnya bersama seekor keldai. Dalam perjalanan, si ayah menyuruh anaknya menunggang keldai manakala si ayah berjalan sambil memegang tali keldai. Melihat situasi tersebut, orang mengatakan bahawa si anak tidak berperasaan membiarkan ayah yang sudah tua berjalan sedangkan dia menunggang keldai. Si anak pun menyuruh ayahnya menunggang keldai dan dia pula yang berjalan kaki. Tiba di suatu tempat, ada pula yang mengatakan si ayah tidak berperikemanusiaan membiarkan anak berjalan kaki. Si ayah kemudiannya mengajak si anak menunggang keldai itu bersamanya. Orang ramai berkata mereka telah mendera keldai yang kecil dan lemah. Akhirnya kedua-dua mereka pun turun dan berjalan kaki. Namun tetap orang ramai yang melihat memberikan komen dan mengkritik. Mereka mengatakan si ayah dan anaknya bodoh kerana mempunyai keldai tetapi tidak menunggangnya.
Just DO YOUR BEST..! =)

No comments:

Post a Comment