Tuesday, August 14, 2012

Halangan Dalam Komunikasi


Bila ada sesuatu yang tak kena, atau ada perasaan yang kurang enak, seorang sahabat sering menyuruh saya menulis di blog. Katanya, “cubalah buat sesuatu yang awak suka…,sesuatu yang akan buat awak gembira. Awak pun dah lama tak menulis kan..” Dia juga yang menjadi inspirasi saya untuk menghasilkan blog. Kali ni saya nak kongsi sedikit daripada hasil pembacaan saya...

 PENGHALANG DALAM KOMUNIKASI

Saya sangat sukakan psikologi. Kadang-kadang saya sering memperjuangkan teori-teori psikologi dalam kehidupan seharian kerana fikiran setiap insan penting bagi saya. Sedangkan orang lain sibuk untuk melaksanakan gerak kerja yang lebih penting. Tapi, walau apa pun yang berlaku, saya tak akan pernah menganggap psikologi dalam bergerak kerja, dalam komunikasi dan kehidupan seharian merupakan hal yang kurang penting. 

Dalam entry ni, saya nak kongsi point yang saya dapat daripada sebuah buku, “Everyone Communicates Few Connect” yang ditulis oleh seorang penulis dan penceramah yang terkenal, John C. Maxwell. Dalam bukunya penulis ada menyatakan beberapa halangan dalam mencapai persamaan dalam berhubung (proses komunikasi). Berikut adalah penghalang yang beliau maksudkan :

  1. Andaian – “Saya mengetahui apa yang orang lain tahu, rasa ataupun mahu”
  2. Sikap angkuh – “Saya tidak perlu tahu apa yang orang lain tahu, rasa ataupun mahu”
  3. Sikap tidak ambil peduli –  “Saya tidak peduli apa yang orang lain tahu, rasa ataupun mahu”
  4. Kawalan – “saya tidak mahu orang lain tahu apa yang saya tahu, rasa ataupun mahukan”
  5. Saya bersetuju dengan pandangan penulis. Kebanyakan komunikasi terhalang disebabkan perkara-perkara yang dinyatakan. Saya sendiri pernah berhadapan dengan situasi-situasi yang seperti itu. Disebabkan halangan ini, banyak objektif yang tak dapat dicapai. Saya faham dengan jelas apa yang penulis sampaikan dan di sini saya kongsi dari sudut kefahaman saya sendiri. 

ANDAIAN

Dalam setiap urusan, kita sukar untuk melepaskan diri daripada andaian. Manusia selalu menganggap mereka tahu tentang seseorang sehinggakan mereka cuba membuat keputusan bagi pihak orang lain. Kita sering menganggap andaian yang buruk itu adalah tidak wajar. Tapi, sedarkah kita, andaian yang terlebih baik jugak perlu dielakkan? Semakin sedikit andaian yang dibuat, semakin sedikit kemungkinan berlakunya salah faham. Berfikiran positif itu perlu, tetapi penilaian yang realistik jauh lebih penting. Sebolehnya, cuba dapatkan kepastian daripada individu ataupun pihak yang berkenaan bagi memahami setiap perkara. Namun, ada kalanya seseorang itu lebih memilih untuk membuat andaian sendiri dan mempercayai andaiannya. Tindakan ini mungkin diambil apabila seseorang itu tidak bersedia untuk mengetahui kebenaran yang mungkin menyakitkan.

SIKAP ANGKUH 

Biasanya sikap angkuh ini dimiliki oleh orang atau pemimpin yang merasakan dirinya lebih tinggi berbanding orang lain. Orang yang memiliki sikap ini tidak memandang penting untuk mengambil tahu berkaitan orang lain. Mereka jarang mendapatkan pandangan orang lain terhadap diri mereka dan apa yang mereka lakukan. Sikap seperti ini perlu dikikis sekiranya kita ingin menjadi orang yang cemerlang dalam berkomunikasi dan juga kerja. Pandangan orang lain sangat penting bagi kita memperbaiki kelemahan diri, menambahbaik idea yang ada dan merangka tindakan yang berkesan. 

SIKAP TIDAK AMBIL PEDULI

Sikap seperti tidak sepatutnya ada dalam berkomunikasi. Komunikasi yang berkesan adalah komunikasi dua hala. Maka, semua pihak yang terlibat dalam komunikasi tersebut perlu saling memahami. Apabila wujud persefahaman, fikiran, perasaan serta situasi setiap individu perlu diberi perhatian. Biasanya sikap tidak ambil peduli dimiliki oleh orang atau pemimpin yang mementingkan diri sendiri dan apa yang ada di dalam fikirannya. Mereka tidak pedulikan orang lain melainkan perkara itu mendatangkan faedah kepada diri mereka sendiri. Sikap seperti ini juga perlu dikikis daripada diri kita.  

KAWALAN

Ramai di antara kita merasakan “kawalan” itu perlu dalam perhubungan. Saya pernah terbaca ayat ini, “orang yang bijak menjadikan orang lain bergantung kepadanya, tetapi  dia tidak bergantung kepada orang lain.” Jadi, apa yang kita tahu, rasa atau mahukan adalah tidak penting untuk membuatkan orang lain memahaminya. Ada betulnya untuk memegang prinsip seperti ini. Adalah bagus jika kita menganggap diri kita kurang penting berbanding orang lain. Ini menjadikan kita sentiasa bertindak matang dan suka melakukan kebaikan. Tetapi, dalam komunikasi, kita tidak boleh menyembunyikan diri, tidak mahu orang tahu atau faham diri kita. Ini adalah konsep yang salah dalam perhubungan. Orang di sekeliling sukar untuk memahami anda. Hasilnya, komunikasi tidak mencapai matlamat yang diharapkan. Malah perhubungan yang rapat juga sukar dibina. Orang yang berpegang kepada kawalan terhadap diri sendiri ini pada pandangan saya adalah orang yang egonya tinggi. 

*********************

Saya akui, saya sendiri pernah atau masih melakukan perkara-perkara di atas. Apabila takut persoalan saya mendapat jawapan negatif, saya membuat andaian yang baik dan terus mengekalkan senyuman dan bertindak seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Tapi hakikatnya, hati tidak akan tenang selagi saya tidak tahu apa yang sebenarnya orang lain rasa ataupun mahukan. Kadang-kadang, untuk mengekalkan mood yang baik, saya bersikap tidak ambil peduli apa yang orang lain fikirkan asalkan saya yakin perkara yang saya buat adalah betul. Namun sebenarnya, di luar sahaja saya menunjukkan sikap tidak ambil peduli. Dalam hati, hanya Allah yang tahu apa yang saya rasa. Mengikut nasihat John C. Maxwell, apa yang kita rasa perlu dikeluarkan agar orang lain tahu.  Tapi, sejauh mana orang lain perlu tahu? Pasti ada batasnya...  Jadi, ada kalanya saya terpaksa menggunakan kaedah kawalan.  Pada saya, kaedah psikologi sangat fleksibel sebab teori yang dipelajari perlu disesuaikan dengan situasi.  Jadi, common sense yang  tinggi perlu ada untuk kita memahami situai yang berlaku dan tindakan yang perlu diambil.


Pernah suatu hari, ada seorang sahabat alam maya menceritakan masalahnya. Dia mungkin mengenali siapa saya. Rasanya dia tertarik untuk bercerita kepada saya kerana melihat pembawakan diri saya di facebook. Namun, dia merahsiakan identitinya yang sebenar. Daripada ceritanya, saya dapat mengagak siapa dia sebenarnya tetapi saya hanya mendiamkan kerana menghormati kehendak dia yang mahu merahsiakan identiti sebenar. Dia meminta pendapat daripada saya berkenaan situasi yang dihadapinya. Waktu tu, saya ajukan pelbagai persoalan yang kadang kala membuatkan dia rasa saya tidak berada di pihaknya. Mungkin juga saya menghadapi masalah dalam berkomunikasi. Tapi apa yang saya mahu sebenarnya adalah untuk cuba berfikir dari pelbagai sudut berbeza. Saya tidak boleh menilai mengikut sudut pandangan dia yang cuba mendapatkan nasihat, kerana dia berada dalam situasi masalah tersebut. Jadi sudah pasti pandangannya akan menganggap apa yang difikirkannya adalah betul dan pelbagai andaian akan timbul terhadap pihak lain. Jadi, sebagai pendengar, saya seharusnya membuatkan dia menukarkan pandangannya dengan meletakkan dirinya di tempat orang lain. Saya mahu membantu dia. Saya mendengar dan cuba memahami masalahnya selama beberapa hari. Tetapi sayangnya, dia lebih berfokus kepada luahan perasaan dan menyalahkan orang lain berbanding cuba mencari penyelesaian.



No comments:

Post a Comment