Tuesday, August 14, 2012

EGO : Perlukah Dihapuskan?


Ego tu apa? Tinggikah ego saya? Ego tu satu masalah ke? Di sini saya respon beberapa persoalan yang pernah ditujukan kepada saya berkenaan sikap ego yang ada dalam diri kita. Entri ini saya tulis berdasarkan pengamatan dan kefahaman saya sendiri tanpa suatu sumber rujukan yang khusus. Kebanyakan buku berunsurkan psikologi dan motivasi saya baca ketika zaman sekolah menengah. Jika ada pembaca yang mempunyai pendapat sendiri, boleh utarakan kepada saya jika mahu. Saya sentuh hanya sebahagian yang berkaitan egoisme. 

Ego pada saya adalah satu sikap yang boleh digambarkan dengan ciri-ciri seperti sukar mengakui kesilapan diri, enggan orang lain mengetahui perasaannya terhadap sesuatu, takut atau tidak boleh ditolak kemahuannya, mudah rasa tercabar dan pelbagai lagi sikap lain yang seumpamanya. Ada orang mengaitkan ego dengan sikap mementingkan diri sendiri, sombong dan sebagainya. Namun, saya kurang bersetuju dengan pandangan sebegitu. Pada saya, ego bukanlah sama dengan sombong. Orang yang tinggi egonya juga tidak semestinya seorang yang mementingkan diri sendiri.  

Ego juga boleh mengikut situasi dan orang yang sedang berhubung dengan kita. Misalnya, kita mungkin seorang yang sangat tinggi egonya. Namun, mungkin ada seorang insan yang berjaya menundukkan ego kita. Apabila berhadapan dengan dia, ego yang ada boleh turun ke tahap yang sangat rendah. Biasanya, apabila berhadapan dengan orang yang menunjukkan ego yang tinggi, ego kita juga akan memuncak. Mungkin anda perasan, apabila seseorang merendahkan ego, beranikan diri untuk meminta maaf atas satu kesilapan, pihak satu lagi biasanya menjawab dengan memohon kemaafan juga. Di sini, orang pertama telah berjaya menurunkan ego orang kedua dengan merendahkan egonya sendiri. 

CONTOH SITUASI 

Saya ambil beberapa cerita untuk dijadikan contoh. 

  1. Ada seorang pelajar perempuan yang sangat pemalu. Tapi, dia enggan orang lain mengatakan bahawa dia malu tak bertempat. Dia lebih suka menyendiri sedangkan di dalam hati mebuak-buak keinginan untuk berkawan. Apabila berada di dalam kumpulan yang besar, dia biasanya akan berdiam diri. Namun, kerana takut pandangan orang terhadap sikapnya yang sangat pemalu dan tidak pandai bergaul, dia berlagak seperti orang sombong. Biasanya dia lebih senang membaca atau membelek-belek telefon bimbitnya. Seorang pelajar yang lain pula tanpa segang silu menunjukkan kepada masyarakat bahawa dia sedang bersendirian. Dia mempamerkan rasa rendah diri yang ada walaupun tidak cuba berkenalan dengan orang di sekitar. Cuba bayangkan, apabila seorang pelajar lain yang lalu berdekatan mereka, sudah pasti dia akan menganggap pelajar pertama tadi sombong lalu cuba mendekati pelajar kedua. Dalam situasi ini kita dapat lihat pelajar pertama tinggi egonya. Dia pada dasarnya bukanlah sombong. Sebaliknya dia bertarung, antara keinginan dengan keegoan. Pelajar ini bukanlah memandang rendah terhadap orang lain sebaliknya mempunyai rasa rendah diri yang sangat tinggi, namun cuba disembunyikan. 
  2.  Situasi kedua, saya memberi contoh diri saya sendiri. Saya pernah diasak-asak dengan dakwaan ego yang tinggi dalam diri. Namun, saya hanya menjawab dengan ego itu sendiri. Diam tanpa respon terhadap orang tersebut kerana saya sedar, tak guna melawan, dia akan sentiasa cari kesalahan. Saya akui, ego saya tinggi. Namun, tahapnya berbeza-beza terhadap orang di sekitar.  Teringat zaman sebelum saya bertemu suatu perubahan. Seorang guru yang marah-marah tidak akan mampu menundukkan saya untuk mendengar arahan. Begitu juga andai ada yang cuba menggunakan “reverse psychology” dengan saya. Ego saya akan semakin tinggi dan tidak memikirkan sebarang kesan. Sebaliknya seorang yang menggunakan cara yang yang lembut akan membuatkan saya mendengar arahan. Ketegasan dalam kelembutan. Prinsip yang saya pegang dalam pengurusan kerja saya. 
  3. Untuk situasi yang ketiga, saya ambil contoh seorang sahabat saya. (Saya mohon maaf andai ada yang terasa hati apabila membaca entri ini. Sama-sama perbaiki diri, insyaAllah..) Seorang sahabat yang saya pernah jumpa, yang mempunyai ego yang sangat tinggi. Dia tidak pernah menyuarakan apa yang dirasa. Apabila berselisih pendapat, dia akan tetap dengan pendapatnya. Lumrah bersahabat, pasti diuji. Pernah beberapa kali situasi menjadi dingin, saya beberapa kali menghantar sms atau surat menerangkan situasi juga memohon maaf. Namun, tak pernah satu usaha saya mendapat respon yang diharapkan. Biasanya dia akan menunjukkan sikap neutral keesokan harinya tanpa menyelesaikan perselisihan yang terjadi. Teringat kali terakhir, saya memberinya surat bersama gula-gula, cuba memaniskan keadaan. Juga tiada respon. Dia tidak pernah menjelaskan apa yang dia rasa atau punca masalah antara kami. Pada saya setiap perkara harus dijelaskan. Tidak boleh sekadar mengikut emosi. Bila rasa nak dingin, terus dingin. Bila rasa nak baik, tiba-tiba saja berbaik. Segala persoalan tidak terjawab. Akhirnya, perhubungan semakin hambar. Namun, saya gagal membuatkan dia mengikut cara saya. Akhir sekali saya bosan, lalu bermain mengikut rentaknya. 
  4.  Seterusnya, juga sahabat saya sebagai contoh. Sahabat ini terlalu baik. Semua orang senang dengannya. Boleh dikatakan egonya sangat-sangat direndahkan. Dia selalu mengutamakan orang lain. Apabila bersamanya, ada kala saya terasa nak marah. Dia terlalu mudah dibuli dan hanya membiarkan dirinya dibuli. Kata-kata maaf sering terucap di bibirnya. Dia sangat merendah diri. Pernah saya cuba mengajar atau menyemai sedikit ego agar dia tidak terlalu menunjukkan rasa rendah diri, agar tidak terlalu menunjukkan tiadanya keyakinan diri. Dia sering diketawakan. Mungkin kerana semua orang suka dengar dia bercakap. Namun, saya menginginkan dia dihormati. Disukai dan dihormati. 

IMPLIKASI EGOISME 

Tahap ego berbeza-beza mengikut individu seperti yang telah diterangkan di atas. Ego yang tinggi boleh menjadikan seseorang sukar untuk berhubung. “Egoisme inilah yang telah mencabut rasa percaya satu sama lain di antara masyarakat, yang memutuskan ikatan kasih sayang antara anggota keluarga, dan melemahkan ikatan kemanusiaan antar manusia. Sehingga seorang tetangga menjauh dengan tetangganya, dan seorang sahabat menghindar dari sahabatnnya, pada saat kita sedang amat membutuhkan kerjasama untuk menghadapi kesulitan-kesulitan dan problem kehidupan.” (Dr. Mushthafa as Siba`I, 1374)

Sebaliknya ego yang terlalu rendah pula ada kalanya membuatkan orang memandang rendah. Bukan pandangan orang yang saya pentingkan di sini. Namun, untuk menjadi seorang individu yang bernilai, terutamanya untuk menjadi dai’e yang dakwahnya berkesan, seni berhubung sangat penting. Penilaian luaran manusia juga penting.

PENYELESAIAN

Perlukah ego dihapuskan? Kita boleh mengkaji balik perkembangan psikologi manusia daripada bayi sehingga dewasa. Ada tiga tahap perkembangan psikologi, id, ego, superego. Saya tak akan terangkan lebih lanjut di sini. Namun, kita dapat lihat, ego adalah sesuatu yang normalnya wujud dalam diri setiap individu. Jadi, tidak seharusnya kita cuba menghapuskan ego. Dan sememangnya ego itu tidak dapat dihapuskan. Yang perlu dihapuskan adalah penyakit-penyakit hati seperti hasad dengki, iri hati, sombong, bangga diri, riak dan sifat-sifat mazmumah yang lain. 

Sebaiknya, uruslah ego dengan baik. Jika dilihat, ego bukanlah masalah. Orang yang tinggi egonya boleh terus berhubung sekiranya tahu seni berhubung dan mahu mengamalkannya. Walaupun mempunyai ego yang tinggi, jangan menafikan “common sense” yang ada. Misalnya kita sedar kita harus memberitahu perasaan kita agar orang lain tidak salah faham. Turunkanlah ego sekejap. Kita hanya hamba yang tak perlukan pengiktirafan yang terlalu tinggi. Jadi andai ego perlu diturunkan, tiada apa yang nak dimalukan.

Saya sendiri masih belajar merendahkan ego. Saya cuba menurunkan ego setelah bergelar dai’e. Kalau dulu seorang kawan tidak respon sms saya, dia takkan terima sms lagi daripada saya sehinggalah dia sendiri yang hubungi saya dulu. Namun, peranan sebagai naqibah tidak membenarkan saya meneruskan sikap begitu. Saya akan tetap sms adik-adik usrah walaupun tanpa sepatah respon daripada mereka. Walau mereka tidak datang usrah. SMS sorang demi sorang tanya kenapa. Kemudian tunggu respon walaupun tak semua akan respon. Bila berjumpa, saya masih perlu memaniskan muka, menegur dengan mesra walaupun mereka sudah lama meninggalkan usrah. Walaupun ada yang bersikap dingin. Pernah juga menitis air mata. Namun, perasaan tak sepenting gerak kerja dakwah. 

Begitu juga dengan sahabat-sahabat. Kita masih perlu melakukan dakwah dan islah. Dai’e jangan mudah berputus asa. Andai perasaan sendiri lebih dipentingkan dan penatnya usaha ingin dihitung, macam mana usaha dakwah akan berterusan? Namun, saya juga manusia yang ada kalanya bermain dengan emosi. Apa yang tertulis di atas mungkin lebih banyak teori daripada aplikasi. Astaghfirullahal’azim.. Marilah sama-sama kita perbaiki diri. InsyaAllah..

No comments:

Post a Comment