Tuesday, August 28, 2012

Cinta Sukar Dimengerti

Perasaan cinta merupakan sesuatu yang sukar untuk difahami. Semalam saya disoal satu soalan yang mengelirukan. 

Apabila seseorang cuba mengelak, menjauhkan diri dan jika perlu hanya bercakap dengan orang di sebelah anda seolah-olah anda tiada di situ, apakah tandanya? Adakah tandanya ada  cinta sedang berputik?

Sekarang saya tambah beberapa persoalan lagi,

Apabila seseorang membuatkan anda rasa ada sesuatu yang istimewa tanpa kenyataan secara jelas, apa maksudnya? Apabila seseorang tiba-tiba menjauhkan diri atau berubah layanannya terhadap anda, apa yang akan anda fikirkan? Macam mana kita nak tahu seseorang itu mencintai kita? Apakah tanda-tanda seseorang itu mungkin menjadi jodoh kita?

Sukar untuk memberi satu jawapan yang pasti untuk kesemua soalan seperti itu.  Apabila bermain dengan perasaan, memang sukar difahami jika tiada perbincangan yang jelas. Kita boleh mengandaikan. Namun, tiada kepastian tanpa pengakuan. Mungkin ada pihak yang tanpa sengaja, tanpa sedar telah memberi harapan kepada suatu pihak yang lain. Ada pula orang yang berlagak seperti tiada apa-apa, sedangkan hati bergetar hebat saat terjumpa si dia. Ada orang memilih untuk mendiamkan diri, keranan takut kecewa. Seperti lirik lagu nyanyian Dia Fadila :

Jangan cuba mencipta harapan,
Jika kau hanya mainkan perasaan,
Yang sekian lamanya dambakan kehadiranmu,
Jangan biarku mencintaimu,
Melainkan kau merasa begitu,
Kerana hati ini tak bisa diluka lagi,

Namun, lebih baik jika berdiam demi menjaga hati. Ketika zaman Rasulullah SAW, ada wanita yang menawarkan dirinya untuk dinikahi oleh Rasulullah. Khadijah juga menghantar utusan memberitahu Rasulullah SAW tentang hajatnya. Namun tak ramai wanita zaman sekarang yang akan bertindak sebegitu. Biasanya wanita lebih memilih menunggu suatu kepastian.

Seorang sahabat menyatakan, bahaya jatuh cinta. Katanya perasaan itu boleh sampai kepada dia yang dicintai. Benarkah macam tu? Secara saintifiknya, hormon tertentu akan dirembeskan oleh tubuh kita mengikut keadaan emosi. Ada yang mengatakan hormon oksitosin itu hormon cinta. Teringat waktu di dalam kelas, ada pensyarah mengatakan jika kita sukakan seseorang, badan kita akan mengeluarkan sejenis hormon. Dan orang itu akan rasa yang kita menyukai dirinya. Maaf saya tak sempat membuat kajian yang lebih lanjut berkenaan hormon ini. 

Di sini saya nak kongsi situasi ketika dalam hati ada cinta. Dalam sebuah buku yang ditulis oleh Burhan Sodiq, "Ya Allah, Diakah Jodohku", penulis berkongsi keadaan saat jatuh cinta yang dirujuk daripada Ahmad Salim, Cinta Di Otak Atau Di Hati. Namun, saya hanya memilih point yang sesuai untuk dikongsikan di sini.

Cinta Lelaki

  • Wahai lelaki, ketika engkau berasa tidak mampu menyimpan rahsia daripadanya bererti engkau mencintainya.
  • Ketika lelaki mengatakan "perempuan itu tidak mempunyai perasaan" beerti perempuan tersebut berjaya mencuri hatinya.
  • Cinta seorang lelaki bagai menulis di atas air atau paling besar seperti dia menulis di atas pasir.
  • Dalam bercinta, seorang lelaki selalu ingin tahu apa yang dilakukan oleh kekasihnya.
  • Dalam percintaan, seorang lelaki akan berkorban apa sahaja untuk kekasihnya, kecuali satu perkara, mencintainya terus-menerus.

Cinta Wanita

  • Ketika ada perempuan membenci seorang lelaki setengah mati, itu tandanya dahulu dia pernah mencintainya setengah mati.
  • Di belakang semua perempuan yang berjaya adalah kegagalan dalam bercinta.
  • Bagi perempuan, ada tiga tahap dalam perjalanan cintanya, mencintai,  dikecewakan dan bersedih.
  • Dalam kehidupan seorang perempuan, ada suatu masa yang dia berasa perlu untuk mencintai seorang lelaki dengan sepenuhnya.
  • Betapapun seorang perempuan bermulut seribu, namun cinta mengajarnya untuk berdiam.
  • Ketika seorang perempuan mencintai lelaki, dia sekali-kali tidak akan pernah merendahkannya.
  • Keinginan seorang perempuan boleh dibengkok-bengkokkan terpulang kepada siapa yang dia cintai.
  • Tidak ada yang mampu mencabut cinta dari hati seorang perempuan selain cinta yang baru.
  • Seorang perempuan tidak mampu hidup tanpa orang yang dia cintai.
  • Kala perempuan jatuh cinta, dia mulakannya dengan kekhuatiran, ketakutan dan prasangka.
  • Perasaan, cinta dan kerelaan adalah hal yang tidak akan lekang daripada diri perempuan.

Cinta yang dianggap sekadar babak pertama bagi lelaki dalam hidup merupakan hidup mati bagi seorang perempuan. Cinta adalah sebuah kisah yang di dalamnya perempuan dengan bangga berperanan sebagai pahlawan, sedangkan bagi lelaki dia lebih memilih menjadi pengarangnya. Cinta seorang lelaki tidak lebih daripada selembar sampul depan, namun cinta seorang perempuan bagai lembaran-lembaran kertas yang tidak pernah habis.

Cinta bukanlah sesuatu yang aib, ia juga bukan sesuatu yang tercela. Baik dan buruknya sebuah cinta bergantung kepada apa kita membingkainya. Kalau bingkainya bagus, maka ia akan bagus. Tetapi jika bingkainya buruk, ia akan buruk. Ada bingkai yang suci dan halal dan ada bingkai yang kotor dan haram.

Islam adalah agama fitrah kerana itu Islam tidak pernah membelenggu perasaan manusia. Islam tidak pernah mengingkari perasaan cinta yang tumbuh dalam diri seorang manusia. Sebaliknya Islam mengajar manusia bagaimana menjaga perasaan cinta sehingga ia dijaga, dirawat dan dilindungi daripada segala bentuk kehinaan dan apa sahaja yang mengotorinya..

No comments:

Post a Comment