Tuesday, August 14, 2012

BERTEDUH DI KEBUN CINTA (REFLEKSI)


Entri ni saya tulis sebagai refleksi daripada sebuah buku bertajuk “Berteduh Di Kebun Cinta”. Buku ini merupakan sebuah penulisan daripada pengalaman hidup penulis ketika berkhidmat sebagai perunding motivasi di sebuah syarikat konsultan. Penulis, Rezza Khanafiah merupakan seorang pelajar Universiti Al Azhar tahun akhir ketika menulis buku ini. 

Penangan CINTA

“Terasa pelik juga tidak pernah kenal dan bersua. Tetapi kerana hanya sering bermain dengan kata-kata di alam maya, dengan mudah boleh jatuh cinta. Bila nafsu diletakkan di hadapan, semua yang salah nampak biasa. Matlamat cuba menghalalkan cara...” – Rezza Khanafiah

Bila dalam hati ada taman yang kian berbunga-bunga mekar, sang pemilik pasti sedang ingin bercinta. Setiap waktu, wajah sang kekasih menari-nari di minda. Jiwa bergetar mengalahkan takut dan risau pada dosa. Sepotong nama si dia sentiasa menghantui di mana sahaja. Saat itu, desakan hati yang menggila mampu membutakan. Iman bertarung dengan nafsu. Siapa yang akan menjuarainya? Segalanya bergantung kepada setinggi mana mujahadah diri. Dan bermujahadah itu bukannya mudah. 

Bukan cinta itu dihalang. Bukan kasih sesama manusia ingin dinafikan. Bahkan itu fitrah setiap insan. Ingin disayangi dan menyayangi. Ingin dimiliki dan memiliki. Namun, “jangan rasa dimiliki atau memiliki jika bukan pada yang hak”. Ini pesan penulis yang berjaya terukir di ingatan. Jika demikian, pasti mudah manusia dikecewakan. Hanya cinta yang hakiki takkan pernah mengecewakan. Cinta kepada Allah yang lebih mencintai hambaNya berbanding seorang ibu mengasihi anak kecil. Cinta kepada Baginda Rasulullah saw yang menyebut-nyebut nama umatnya sebelum menghembus nafas yang terakhir. 

Pemilik Cintaku Setelah Allah Dan Rasul

“(Dia) Pencipta langit dan bumi. Dia menjadikan bagi kamu dari jenis kamu sendiri pasangan-pasangan dan dari jenis binatang ternak pasangan- pasangan (pula), dijadikan-Nya kamu berkembang biak dengan jalan itu.” [Asy-Syuura : 11]

“dan bahwasanya Dialah yang menciptakan berpasang-pasangan pria dan wanita.” [An-Najm : 45]

Allah SWT menjadikan manusia itu berpasang-pasang. Cinta sesama manusia perlu dijadikan sandaran bagi menyuburkan iman kepada Sang Pencipta. Inilah cinta alat yang perlu dimanfaatkan bagi mencapai cinta matlamat. Pemilik cinta setelah Allah dan Rasul merupakan sandaran cinta bagi mendapatkan redhaNya. 

Pesan Baginda Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Tirmidzi dan Ahmad :
“Apabila datang kepadamu seorang lelaki untuk meminang yang engkau redha terhadap agama dan akhlaknya, maka nikahilah dia. Bila tidak engkau lakukan maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan akan timbul kerosakan yang merata di muka bumi.”

CINTA Di Taman Larangan

“Andai timbul cinta manusia di taman larangan , jangan bercinta walaupun mempunyai perasaan cinta”

Salah cinta atau bercinta? Perasaan cinta boleh wujud pada bila-bila masa. Lebih-lebih lagi bila kurang berhati-hati menjaga hati. Namun, perlukah perasaan itu ditunjukkan andai diri belum bersedia? Biarlah rasa itu tertanam jauh di sumur hati. Tak siapa perlu tahu, apatah lagi si dia. 

Ceritera cinta ini perlu ditamatkan. Dua hati yang sedang ingin bercinta sama ada diputuskan atau dihubungkan. Andai diri belum bersedia, kuburkan segala yang ada di kalbu. Jauhkan dirimu dari bayang-bayang si dia. Jangan bermain dengan perasaan sendiri, juga perasaan dia yang dikasihi. Andai benar kau cinta. 

Namun, pengakhiran indahnya cinta bukan suatu yang mustahil. Tak salah menghargai cinta manusia. Tamatkan hubungan dengan jalan yang halal. Itu lebih baik bagimu jika mampu. Andai perkahwinan tak dapat dielakkan, seiringkanlah cinta dengan cita-cita. Berkahwin ketika belajar bukanlah suatu masalah. Nikah khitbah juga halal di sisi agama. Tak perlu juga hantaran yang melambung tinggi nilainya. Jangan melebihkan adat berbanding syariat. Ijab dan kabul itu yang wajib. Dengan mas kahwin sekadar yang mampu. Kita di zaman moden sering terikut-ikut dengan budaya moden yang melambatkan urusan, sedang syariat tidak menetapkan. Makanya muncul pelbagai masalah sosial.  

Cinta di taman larangan jangan dilayan agar jiwa tak sesat mencari jalan pulang menghadap yang Esa. Carilah tempat berteduh di kebun cinta, kerana bunga-bunga indah mekar itu mampu meruntuhkan iman.


No comments:

Post a Comment