Tuesday, August 28, 2012

Cinta Sukar Dimengerti

Perasaan cinta merupakan sesuatu yang sukar untuk difahami. Semalam saya disoal satu soalan yang mengelirukan. 

Apabila seseorang cuba mengelak, menjauhkan diri dan jika perlu hanya bercakap dengan orang di sebelah anda seolah-olah anda tiada di situ, apakah tandanya? Adakah tandanya ada  cinta sedang berputik?

Sekarang saya tambah beberapa persoalan lagi,

Apabila seseorang membuatkan anda rasa ada sesuatu yang istimewa tanpa kenyataan secara jelas, apa maksudnya? Apabila seseorang tiba-tiba menjauhkan diri atau berubah layanannya terhadap anda, apa yang akan anda fikirkan? Macam mana kita nak tahu seseorang itu mencintai kita? Apakah tanda-tanda seseorang itu mungkin menjadi jodoh kita?

Sukar untuk memberi satu jawapan yang pasti untuk kesemua soalan seperti itu.  Apabila bermain dengan perasaan, memang sukar difahami jika tiada perbincangan yang jelas. Kita boleh mengandaikan. Namun, tiada kepastian tanpa pengakuan. Mungkin ada pihak yang tanpa sengaja, tanpa sedar telah memberi harapan kepada suatu pihak yang lain. Ada pula orang yang berlagak seperti tiada apa-apa, sedangkan hati bergetar hebat saat terjumpa si dia. Ada orang memilih untuk mendiamkan diri, keranan takut kecewa. Seperti lirik lagu nyanyian Dia Fadila :

Jangan cuba mencipta harapan,
Jika kau hanya mainkan perasaan,
Yang sekian lamanya dambakan kehadiranmu,
Jangan biarku mencintaimu,
Melainkan kau merasa begitu,
Kerana hati ini tak bisa diluka lagi,

Namun, lebih baik jika berdiam demi menjaga hati. Ketika zaman Rasulullah SAW, ada wanita yang menawarkan dirinya untuk dinikahi oleh Rasulullah. Khadijah juga menghantar utusan memberitahu Rasulullah SAW tentang hajatnya. Namun tak ramai wanita zaman sekarang yang akan bertindak sebegitu. Biasanya wanita lebih memilih menunggu suatu kepastian.

Seorang sahabat menyatakan, bahaya jatuh cinta. Katanya perasaan itu boleh sampai kepada dia yang dicintai. Benarkah macam tu? Secara saintifiknya, hormon tertentu akan dirembeskan oleh tubuh kita mengikut keadaan emosi. Ada yang mengatakan hormon oksitosin itu hormon cinta. Teringat waktu di dalam kelas, ada pensyarah mengatakan jika kita sukakan seseorang, badan kita akan mengeluarkan sejenis hormon. Dan orang itu akan rasa yang kita menyukai dirinya. Maaf saya tak sempat membuat kajian yang lebih lanjut berkenaan hormon ini. 

Di sini saya nak kongsi situasi ketika dalam hati ada cinta. Dalam sebuah buku yang ditulis oleh Burhan Sodiq, "Ya Allah, Diakah Jodohku", penulis berkongsi keadaan saat jatuh cinta yang dirujuk daripada Ahmad Salim, Cinta Di Otak Atau Di Hati. Namun, saya hanya memilih point yang sesuai untuk dikongsikan di sini.

Cinta Lelaki

  • Wahai lelaki, ketika engkau berasa tidak mampu menyimpan rahsia daripadanya bererti engkau mencintainya.
  • Ketika lelaki mengatakan "perempuan itu tidak mempunyai perasaan" beerti perempuan tersebut berjaya mencuri hatinya.
  • Cinta seorang lelaki bagai menulis di atas air atau paling besar seperti dia menulis di atas pasir.
  • Dalam bercinta, seorang lelaki selalu ingin tahu apa yang dilakukan oleh kekasihnya.
  • Dalam percintaan, seorang lelaki akan berkorban apa sahaja untuk kekasihnya, kecuali satu perkara, mencintainya terus-menerus.

Cinta Wanita

  • Ketika ada perempuan membenci seorang lelaki setengah mati, itu tandanya dahulu dia pernah mencintainya setengah mati.
  • Di belakang semua perempuan yang berjaya adalah kegagalan dalam bercinta.
  • Bagi perempuan, ada tiga tahap dalam perjalanan cintanya, mencintai,  dikecewakan dan bersedih.
  • Dalam kehidupan seorang perempuan, ada suatu masa yang dia berasa perlu untuk mencintai seorang lelaki dengan sepenuhnya.
  • Betapapun seorang perempuan bermulut seribu, namun cinta mengajarnya untuk berdiam.
  • Ketika seorang perempuan mencintai lelaki, dia sekali-kali tidak akan pernah merendahkannya.
  • Keinginan seorang perempuan boleh dibengkok-bengkokkan terpulang kepada siapa yang dia cintai.
  • Tidak ada yang mampu mencabut cinta dari hati seorang perempuan selain cinta yang baru.
  • Seorang perempuan tidak mampu hidup tanpa orang yang dia cintai.
  • Kala perempuan jatuh cinta, dia mulakannya dengan kekhuatiran, ketakutan dan prasangka.
  • Perasaan, cinta dan kerelaan adalah hal yang tidak akan lekang daripada diri perempuan.

Cinta yang dianggap sekadar babak pertama bagi lelaki dalam hidup merupakan hidup mati bagi seorang perempuan. Cinta adalah sebuah kisah yang di dalamnya perempuan dengan bangga berperanan sebagai pahlawan, sedangkan bagi lelaki dia lebih memilih menjadi pengarangnya. Cinta seorang lelaki tidak lebih daripada selembar sampul depan, namun cinta seorang perempuan bagai lembaran-lembaran kertas yang tidak pernah habis.

Cinta bukanlah sesuatu yang aib, ia juga bukan sesuatu yang tercela. Baik dan buruknya sebuah cinta bergantung kepada apa kita membingkainya. Kalau bingkainya bagus, maka ia akan bagus. Tetapi jika bingkainya buruk, ia akan buruk. Ada bingkai yang suci dan halal dan ada bingkai yang kotor dan haram.

Islam adalah agama fitrah kerana itu Islam tidak pernah membelenggu perasaan manusia. Islam tidak pernah mengingkari perasaan cinta yang tumbuh dalam diri seorang manusia. Sebaliknya Islam mengajar manusia bagaimana menjaga perasaan cinta sehingga ia dijaga, dirawat dan dilindungi daripada segala bentuk kehinaan dan apa sahaja yang mengotorinya..

Saturday, August 25, 2012

Bahasa Arab Bahasa Islamik?

Ana, enti, enta, akh, utkh, aasif, dan macam-macam lagi istilah Arab yang sering digunakan terutamanya dalam kalangan mereka yang terlibat langsung dalam gerak kerja Islam. Seringkali, masyarakat memandang pelik penggunaan bahasa Arab, terutamanya mereka yang tidak pernah mempelajari bahasa Arab. Namun, jika rojak bahasa digaul dengan bahasa Inggeris, mungkin kurang pandangan sinis atau pelik masyarakat. Ada apa dengan bahasa? Adakah kerana bahasa menunjukkan bangsa?

Jujurnya, saya sendiri tidak biasa dengan bahasa Arab. Saya lebih selesa menyebut "saya" berbanding "ana". Lebih suka bercakap Inggeris daripada bahasa Arab. Saya bukanlah belajar di sekolah aliran agama atau belajar matapelajaran bahasa Arab ketika di sekolah. Saya hanya mengambil bahasa Arab sebagai subjek elektif di USM. Tapi, selepas mempelajari bahasa Arab, saya sukakan bahasa Arab. Walaupun kurang menggunakan istilah Arab, sekurang-kurangnya saya dapat menerima orang lain menggunakan istilah Arab.

Saya andaikan masyarakat Islam di Malaysia bukanlah tidak sukakan bahasa Arab. Atau ingin memandang pelik mereka yang  menunjukkan imej Islamik dengan sedikit campuran bahasa Arab dalam perbualan harian. Namun, ini lumrah alam. Orang kata, tak kenal maka tak cinta. Jika dilihat, di negara-negara Arab yang masyarakatnya ada terdiri daripada pelbagai latar belakang, semuanya menggunakan bahasa Arab. Walaupun, mungkin ada di antara mereka melakukan jenayah atau berperilaku agak kasar. Cumanya di Malaysia atau di negara-negara bukan bukan Arab, orang yang menggunakan bahasa atau istilah Arab dicop Islamik. Persoalannya, salahkah orang Islam berperwatakan Islamik?

Bahasa Al-Quran

Bahasa Arab adalah bahasa Al-Quran. Nabi kita, Muhammad S.A.W. meninggalkan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan hidup mukmin. Jika kita membaca al-Quran tetapi tidak memahami dan menghayati maknanya, bagaimana al-Quran dapat dijadikan panduan hidup? Al-Quran telah diterjemahkan ke dalam bahasa lain bagi memudahkan kita memahami maknanya. Namun, biasanya kita bergantung kepada terjemahan ayat untuk memahami maksudnya. Ketika suara menyanyikan bacaan al-Quran, mungkin hati kurang menghayati maknanya. Seakan seorang penyanyi yang menyanyikan sebuah lagu tanpa penghayatan. Saya kira, adalah lebih baik seandainya kita mampu untuk mendalami bahasa Arab.



Subjek bahasa adalah subjek yang sukar dipelajari kerana kita memerlukan ingatan yang kuat dan perlu sentiasa digunakan. Paling penting, sekurang-kurangnya kita ingat, faham dan hayati dahulu bacaan dalam solat. Selebihnya, bagus jika kita dapat memartabatkan bahasa Arab dalam pertuturan harian. Pendapat saya, menggunakan istilah atau bahasa Arab bukanlah satu kewajipan, juga tidak menjadi kesalahan.

Masuk Kandang Kambing Mengembek, Masuk Kandang Kerbau Menguak

Jika kita belajar ilmu komunikasi, menggunakan bahasa yang difahami oleh orang yang mendengar sangat penting bagi mengelakkan salah faham. Jika kita belajar ilmu psikologi, biasanya pendengar akan mudah dipengaruhi jika kita menggunakan bahasa yang difahaminya. Malahan, Rasulullah S.A.W. mengingatkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Mas'ud, "ucapanmu yang tidak difahami oleh sesuatu kaum hanyalah akan mendatangkan fitnah kepada sebahagian mereka."


Bagi dai'e atau orang yang ingin berdakwah, komunikasi yang lancar dan mendatangkan reaksi positif pendengar sangat penting. Dai'e bukanlah jawatan yang perlu dilantik ke atas diri seorang individu. Rasulullah S.A.W. berpesan, "sampaikanlah daripadaku walau hanya satu ayat." Jadi, kita perlu bijak membaca situasi. Saya lebih memilih untuk mengikut arus semasa.  Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak. Dan menjadi diri sendiri sebenarnya lebih selesa. Tak perlu cuba menjadi orang lain, tapi mesti sentiasa berusaha memperbaiki diri.

Friday, August 24, 2012

Fikiran & Keputusan

Pernahkah anda terfikir untuk membatalkan keputusan yang telah anda buat untuk keluar bersama rakan-rakan? Pernahkah anda berasa marah apabila sahabat anda tiba-tiba berubah fikiran setelah sama-sama merancang untuk melakukan sesuatu? Pernahkah anda menganggap bahawa tindakan yang telah anda lakukan adalah salah lalu menyesalinya? Alasannya satu, fikiran manusia boleh berubah. Malah ada orang yang fikirannya sentiasa berubah-ubah. 

Bila bercakap tentang fikiran manusia, memang sangat rumit. Sebab tu susah kita nak faham apa yang orang nak. Kadang-kadang, fikiran berubah. Ada masa pula, emosi mengganggu rasional. Ada kalanya fikiran cuba dirahsiakan. Ok, balik kepada tajuk kita, fikiran manusia memang boleh berubah. Ada macam-macam sikap manusia bila berhadapan dengan fikiran yang berubah ni.

1. Fikiran mempengaruhi keputusan

Ada seorang perempuan yang saya kenal. Fikiran dia sentiasa berubah-ubah. Contohnya, kami merancang untuk ke kedai. Sewaktu sedang bersiap-siap, tiba-tiba saja dia boleh cakap taknak pergi. Dalam lima minit kemudian dia cakap nak pergi pulak. Seorang lelaki yang saya kenal juga ada dalam kategori ini. Berhadapan dengan orang macam ni, saya pun cepat berasa panas. Lebih-lebih lagi bila keputusan tu berkaitan diri saya. 

2. Cuba untuk tak ubah keputusan

Seorang sahabat saya agak kurang suka bila orang batalkan apa-apa perancangan atau ubah sebarang keputusan selepas berbincang. Lebih-lebih lagi kalau dia tak dimaklumkan tentang perubahan yang berlaku sedangkan dia terlibat sama dalam urusan tersebut. Jadi,, sesuatu yg memerlukan dia untuk buat keputusan, sebolehnya dia elak untuk ubah keputusan walaupun keputusan tu keputusannya secara individu. Walaupun menghadapi dua situasi yang memerlukan sahabat ini membuat pilihan lain, dia akan teruskan dengan keputusan pertama kerana baginya setiap kata itu janji yang perlu dipenuhi.

3. Keputusan dipengaruhi emosi

Seringkali bila berada di dalam situasi yang beremosi, saya dinasihatkan supaya tidak mengambil sebarang keputusan. Betul, dalam situasi yang beremosi, selalunya kita hanya memikirkan sesuatu untuk memuaskan hati. Kadang-kadang, otak tahu perkara tu tak sepatutnya kita lakukan. Tapi, fikiran yang kurang rasional boleh mengarahkan kita memutuskan sesuatu yang salah. Bila dah sedar keputusan tu salah, masa telah pun berlalu dan tak dapat diundur kembali. Biasanya kita akan menyesal dengan perkara yang telah berlaku apabila terlalu ikutkan emosi.

Membuat keputusan yang tepat dan bijak bukanlah mudah. Untuk membuat sesuatu keputusan, senaraikan kebaikan dan keburukan yang mungkin berlaku hasil pilihan anda. Islam mengajar cara membuat pilihan yang terbaik, iaitu melalui istikharah, doa, dan musyawarah... Apabila ingin membuat keputusan yang penting, ikutlah cara yang telah diajarkan. InsyaAllah, keputusan yang dibuat adalah dengan panduan daripada Allah S.W.T.






Tuesday, August 14, 2012

Halangan Dalam Komunikasi


Bila ada sesuatu yang tak kena, atau ada perasaan yang kurang enak, seorang sahabat sering menyuruh saya menulis di blog. Katanya, “cubalah buat sesuatu yang awak suka…,sesuatu yang akan buat awak gembira. Awak pun dah lama tak menulis kan..” Dia juga yang menjadi inspirasi saya untuk menghasilkan blog. Kali ni saya nak kongsi sedikit daripada hasil pembacaan saya...

 PENGHALANG DALAM KOMUNIKASI

Saya sangat sukakan psikologi. Kadang-kadang saya sering memperjuangkan teori-teori psikologi dalam kehidupan seharian kerana fikiran setiap insan penting bagi saya. Sedangkan orang lain sibuk untuk melaksanakan gerak kerja yang lebih penting. Tapi, walau apa pun yang berlaku, saya tak akan pernah menganggap psikologi dalam bergerak kerja, dalam komunikasi dan kehidupan seharian merupakan hal yang kurang penting. 

Dalam entry ni, saya nak kongsi point yang saya dapat daripada sebuah buku, “Everyone Communicates Few Connect” yang ditulis oleh seorang penulis dan penceramah yang terkenal, John C. Maxwell. Dalam bukunya penulis ada menyatakan beberapa halangan dalam mencapai persamaan dalam berhubung (proses komunikasi). Berikut adalah penghalang yang beliau maksudkan :

  1. Andaian – “Saya mengetahui apa yang orang lain tahu, rasa ataupun mahu”
  2. Sikap angkuh – “Saya tidak perlu tahu apa yang orang lain tahu, rasa ataupun mahu”
  3. Sikap tidak ambil peduli –  “Saya tidak peduli apa yang orang lain tahu, rasa ataupun mahu”
  4. Kawalan – “saya tidak mahu orang lain tahu apa yang saya tahu, rasa ataupun mahukan”
  5. Saya bersetuju dengan pandangan penulis. Kebanyakan komunikasi terhalang disebabkan perkara-perkara yang dinyatakan. Saya sendiri pernah berhadapan dengan situasi-situasi yang seperti itu. Disebabkan halangan ini, banyak objektif yang tak dapat dicapai. Saya faham dengan jelas apa yang penulis sampaikan dan di sini saya kongsi dari sudut kefahaman saya sendiri. 

ANDAIAN

Dalam setiap urusan, kita sukar untuk melepaskan diri daripada andaian. Manusia selalu menganggap mereka tahu tentang seseorang sehinggakan mereka cuba membuat keputusan bagi pihak orang lain. Kita sering menganggap andaian yang buruk itu adalah tidak wajar. Tapi, sedarkah kita, andaian yang terlebih baik jugak perlu dielakkan? Semakin sedikit andaian yang dibuat, semakin sedikit kemungkinan berlakunya salah faham. Berfikiran positif itu perlu, tetapi penilaian yang realistik jauh lebih penting. Sebolehnya, cuba dapatkan kepastian daripada individu ataupun pihak yang berkenaan bagi memahami setiap perkara. Namun, ada kalanya seseorang itu lebih memilih untuk membuat andaian sendiri dan mempercayai andaiannya. Tindakan ini mungkin diambil apabila seseorang itu tidak bersedia untuk mengetahui kebenaran yang mungkin menyakitkan.

SIKAP ANGKUH 

Biasanya sikap angkuh ini dimiliki oleh orang atau pemimpin yang merasakan dirinya lebih tinggi berbanding orang lain. Orang yang memiliki sikap ini tidak memandang penting untuk mengambil tahu berkaitan orang lain. Mereka jarang mendapatkan pandangan orang lain terhadap diri mereka dan apa yang mereka lakukan. Sikap seperti ini perlu dikikis sekiranya kita ingin menjadi orang yang cemerlang dalam berkomunikasi dan juga kerja. Pandangan orang lain sangat penting bagi kita memperbaiki kelemahan diri, menambahbaik idea yang ada dan merangka tindakan yang berkesan. 

SIKAP TIDAK AMBIL PEDULI

Sikap seperti tidak sepatutnya ada dalam berkomunikasi. Komunikasi yang berkesan adalah komunikasi dua hala. Maka, semua pihak yang terlibat dalam komunikasi tersebut perlu saling memahami. Apabila wujud persefahaman, fikiran, perasaan serta situasi setiap individu perlu diberi perhatian. Biasanya sikap tidak ambil peduli dimiliki oleh orang atau pemimpin yang mementingkan diri sendiri dan apa yang ada di dalam fikirannya. Mereka tidak pedulikan orang lain melainkan perkara itu mendatangkan faedah kepada diri mereka sendiri. Sikap seperti ini juga perlu dikikis daripada diri kita.  

KAWALAN

Ramai di antara kita merasakan “kawalan” itu perlu dalam perhubungan. Saya pernah terbaca ayat ini, “orang yang bijak menjadikan orang lain bergantung kepadanya, tetapi  dia tidak bergantung kepada orang lain.” Jadi, apa yang kita tahu, rasa atau mahukan adalah tidak penting untuk membuatkan orang lain memahaminya. Ada betulnya untuk memegang prinsip seperti ini. Adalah bagus jika kita menganggap diri kita kurang penting berbanding orang lain. Ini menjadikan kita sentiasa bertindak matang dan suka melakukan kebaikan. Tetapi, dalam komunikasi, kita tidak boleh menyembunyikan diri, tidak mahu orang tahu atau faham diri kita. Ini adalah konsep yang salah dalam perhubungan. Orang di sekeliling sukar untuk memahami anda. Hasilnya, komunikasi tidak mencapai matlamat yang diharapkan. Malah perhubungan yang rapat juga sukar dibina. Orang yang berpegang kepada kawalan terhadap diri sendiri ini pada pandangan saya adalah orang yang egonya tinggi. 

*********************

Saya akui, saya sendiri pernah atau masih melakukan perkara-perkara di atas. Apabila takut persoalan saya mendapat jawapan negatif, saya membuat andaian yang baik dan terus mengekalkan senyuman dan bertindak seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Tapi hakikatnya, hati tidak akan tenang selagi saya tidak tahu apa yang sebenarnya orang lain rasa ataupun mahukan. Kadang-kadang, untuk mengekalkan mood yang baik, saya bersikap tidak ambil peduli apa yang orang lain fikirkan asalkan saya yakin perkara yang saya buat adalah betul. Namun sebenarnya, di luar sahaja saya menunjukkan sikap tidak ambil peduli. Dalam hati, hanya Allah yang tahu apa yang saya rasa. Mengikut nasihat John C. Maxwell, apa yang kita rasa perlu dikeluarkan agar orang lain tahu.  Tapi, sejauh mana orang lain perlu tahu? Pasti ada batasnya...  Jadi, ada kalanya saya terpaksa menggunakan kaedah kawalan.  Pada saya, kaedah psikologi sangat fleksibel sebab teori yang dipelajari perlu disesuaikan dengan situasi.  Jadi, common sense yang  tinggi perlu ada untuk kita memahami situai yang berlaku dan tindakan yang perlu diambil.


Pernah suatu hari, ada seorang sahabat alam maya menceritakan masalahnya. Dia mungkin mengenali siapa saya. Rasanya dia tertarik untuk bercerita kepada saya kerana melihat pembawakan diri saya di facebook. Namun, dia merahsiakan identitinya yang sebenar. Daripada ceritanya, saya dapat mengagak siapa dia sebenarnya tetapi saya hanya mendiamkan kerana menghormati kehendak dia yang mahu merahsiakan identiti sebenar. Dia meminta pendapat daripada saya berkenaan situasi yang dihadapinya. Waktu tu, saya ajukan pelbagai persoalan yang kadang kala membuatkan dia rasa saya tidak berada di pihaknya. Mungkin juga saya menghadapi masalah dalam berkomunikasi. Tapi apa yang saya mahu sebenarnya adalah untuk cuba berfikir dari pelbagai sudut berbeza. Saya tidak boleh menilai mengikut sudut pandangan dia yang cuba mendapatkan nasihat, kerana dia berada dalam situasi masalah tersebut. Jadi sudah pasti pandangannya akan menganggap apa yang difikirkannya adalah betul dan pelbagai andaian akan timbul terhadap pihak lain. Jadi, sebagai pendengar, saya seharusnya membuatkan dia menukarkan pandangannya dengan meletakkan dirinya di tempat orang lain. Saya mahu membantu dia. Saya mendengar dan cuba memahami masalahnya selama beberapa hari. Tetapi sayangnya, dia lebih berfokus kepada luahan perasaan dan menyalahkan orang lain berbanding cuba mencari penyelesaian.



BERTEDUH DI KEBUN CINTA (REFLEKSI)


Entri ni saya tulis sebagai refleksi daripada sebuah buku bertajuk “Berteduh Di Kebun Cinta”. Buku ini merupakan sebuah penulisan daripada pengalaman hidup penulis ketika berkhidmat sebagai perunding motivasi di sebuah syarikat konsultan. Penulis, Rezza Khanafiah merupakan seorang pelajar Universiti Al Azhar tahun akhir ketika menulis buku ini. 

Penangan CINTA

“Terasa pelik juga tidak pernah kenal dan bersua. Tetapi kerana hanya sering bermain dengan kata-kata di alam maya, dengan mudah boleh jatuh cinta. Bila nafsu diletakkan di hadapan, semua yang salah nampak biasa. Matlamat cuba menghalalkan cara...” – Rezza Khanafiah

Bila dalam hati ada taman yang kian berbunga-bunga mekar, sang pemilik pasti sedang ingin bercinta. Setiap waktu, wajah sang kekasih menari-nari di minda. Jiwa bergetar mengalahkan takut dan risau pada dosa. Sepotong nama si dia sentiasa menghantui di mana sahaja. Saat itu, desakan hati yang menggila mampu membutakan. Iman bertarung dengan nafsu. Siapa yang akan menjuarainya? Segalanya bergantung kepada setinggi mana mujahadah diri. Dan bermujahadah itu bukannya mudah. 

Bukan cinta itu dihalang. Bukan kasih sesama manusia ingin dinafikan. Bahkan itu fitrah setiap insan. Ingin disayangi dan menyayangi. Ingin dimiliki dan memiliki. Namun, “jangan rasa dimiliki atau memiliki jika bukan pada yang hak”. Ini pesan penulis yang berjaya terukir di ingatan. Jika demikian, pasti mudah manusia dikecewakan. Hanya cinta yang hakiki takkan pernah mengecewakan. Cinta kepada Allah yang lebih mencintai hambaNya berbanding seorang ibu mengasihi anak kecil. Cinta kepada Baginda Rasulullah saw yang menyebut-nyebut nama umatnya sebelum menghembus nafas yang terakhir. 

Pemilik Cintaku Setelah Allah Dan Rasul

“(Dia) Pencipta langit dan bumi. Dia menjadikan bagi kamu dari jenis kamu sendiri pasangan-pasangan dan dari jenis binatang ternak pasangan- pasangan (pula), dijadikan-Nya kamu berkembang biak dengan jalan itu.” [Asy-Syuura : 11]

“dan bahwasanya Dialah yang menciptakan berpasang-pasangan pria dan wanita.” [An-Najm : 45]

Allah SWT menjadikan manusia itu berpasang-pasang. Cinta sesama manusia perlu dijadikan sandaran bagi menyuburkan iman kepada Sang Pencipta. Inilah cinta alat yang perlu dimanfaatkan bagi mencapai cinta matlamat. Pemilik cinta setelah Allah dan Rasul merupakan sandaran cinta bagi mendapatkan redhaNya. 

Pesan Baginda Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Tirmidzi dan Ahmad :
“Apabila datang kepadamu seorang lelaki untuk meminang yang engkau redha terhadap agama dan akhlaknya, maka nikahilah dia. Bila tidak engkau lakukan maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan akan timbul kerosakan yang merata di muka bumi.”

CINTA Di Taman Larangan

“Andai timbul cinta manusia di taman larangan , jangan bercinta walaupun mempunyai perasaan cinta”

Salah cinta atau bercinta? Perasaan cinta boleh wujud pada bila-bila masa. Lebih-lebih lagi bila kurang berhati-hati menjaga hati. Namun, perlukah perasaan itu ditunjukkan andai diri belum bersedia? Biarlah rasa itu tertanam jauh di sumur hati. Tak siapa perlu tahu, apatah lagi si dia. 

Ceritera cinta ini perlu ditamatkan. Dua hati yang sedang ingin bercinta sama ada diputuskan atau dihubungkan. Andai diri belum bersedia, kuburkan segala yang ada di kalbu. Jauhkan dirimu dari bayang-bayang si dia. Jangan bermain dengan perasaan sendiri, juga perasaan dia yang dikasihi. Andai benar kau cinta. 

Namun, pengakhiran indahnya cinta bukan suatu yang mustahil. Tak salah menghargai cinta manusia. Tamatkan hubungan dengan jalan yang halal. Itu lebih baik bagimu jika mampu. Andai perkahwinan tak dapat dielakkan, seiringkanlah cinta dengan cita-cita. Berkahwin ketika belajar bukanlah suatu masalah. Nikah khitbah juga halal di sisi agama. Tak perlu juga hantaran yang melambung tinggi nilainya. Jangan melebihkan adat berbanding syariat. Ijab dan kabul itu yang wajib. Dengan mas kahwin sekadar yang mampu. Kita di zaman moden sering terikut-ikut dengan budaya moden yang melambatkan urusan, sedang syariat tidak menetapkan. Makanya muncul pelbagai masalah sosial.  

Cinta di taman larangan jangan dilayan agar jiwa tak sesat mencari jalan pulang menghadap yang Esa. Carilah tempat berteduh di kebun cinta, kerana bunga-bunga indah mekar itu mampu meruntuhkan iman.


EGO : Perlukah Dihapuskan?


Ego tu apa? Tinggikah ego saya? Ego tu satu masalah ke? Di sini saya respon beberapa persoalan yang pernah ditujukan kepada saya berkenaan sikap ego yang ada dalam diri kita. Entri ini saya tulis berdasarkan pengamatan dan kefahaman saya sendiri tanpa suatu sumber rujukan yang khusus. Kebanyakan buku berunsurkan psikologi dan motivasi saya baca ketika zaman sekolah menengah. Jika ada pembaca yang mempunyai pendapat sendiri, boleh utarakan kepada saya jika mahu. Saya sentuh hanya sebahagian yang berkaitan egoisme. 

Ego pada saya adalah satu sikap yang boleh digambarkan dengan ciri-ciri seperti sukar mengakui kesilapan diri, enggan orang lain mengetahui perasaannya terhadap sesuatu, takut atau tidak boleh ditolak kemahuannya, mudah rasa tercabar dan pelbagai lagi sikap lain yang seumpamanya. Ada orang mengaitkan ego dengan sikap mementingkan diri sendiri, sombong dan sebagainya. Namun, saya kurang bersetuju dengan pandangan sebegitu. Pada saya, ego bukanlah sama dengan sombong. Orang yang tinggi egonya juga tidak semestinya seorang yang mementingkan diri sendiri.  

Ego juga boleh mengikut situasi dan orang yang sedang berhubung dengan kita. Misalnya, kita mungkin seorang yang sangat tinggi egonya. Namun, mungkin ada seorang insan yang berjaya menundukkan ego kita. Apabila berhadapan dengan dia, ego yang ada boleh turun ke tahap yang sangat rendah. Biasanya, apabila berhadapan dengan orang yang menunjukkan ego yang tinggi, ego kita juga akan memuncak. Mungkin anda perasan, apabila seseorang merendahkan ego, beranikan diri untuk meminta maaf atas satu kesilapan, pihak satu lagi biasanya menjawab dengan memohon kemaafan juga. Di sini, orang pertama telah berjaya menurunkan ego orang kedua dengan merendahkan egonya sendiri. 

CONTOH SITUASI 

Saya ambil beberapa cerita untuk dijadikan contoh. 

  1. Ada seorang pelajar perempuan yang sangat pemalu. Tapi, dia enggan orang lain mengatakan bahawa dia malu tak bertempat. Dia lebih suka menyendiri sedangkan di dalam hati mebuak-buak keinginan untuk berkawan. Apabila berada di dalam kumpulan yang besar, dia biasanya akan berdiam diri. Namun, kerana takut pandangan orang terhadap sikapnya yang sangat pemalu dan tidak pandai bergaul, dia berlagak seperti orang sombong. Biasanya dia lebih senang membaca atau membelek-belek telefon bimbitnya. Seorang pelajar yang lain pula tanpa segang silu menunjukkan kepada masyarakat bahawa dia sedang bersendirian. Dia mempamerkan rasa rendah diri yang ada walaupun tidak cuba berkenalan dengan orang di sekitar. Cuba bayangkan, apabila seorang pelajar lain yang lalu berdekatan mereka, sudah pasti dia akan menganggap pelajar pertama tadi sombong lalu cuba mendekati pelajar kedua. Dalam situasi ini kita dapat lihat pelajar pertama tinggi egonya. Dia pada dasarnya bukanlah sombong. Sebaliknya dia bertarung, antara keinginan dengan keegoan. Pelajar ini bukanlah memandang rendah terhadap orang lain sebaliknya mempunyai rasa rendah diri yang sangat tinggi, namun cuba disembunyikan. 
  2.  Situasi kedua, saya memberi contoh diri saya sendiri. Saya pernah diasak-asak dengan dakwaan ego yang tinggi dalam diri. Namun, saya hanya menjawab dengan ego itu sendiri. Diam tanpa respon terhadap orang tersebut kerana saya sedar, tak guna melawan, dia akan sentiasa cari kesalahan. Saya akui, ego saya tinggi. Namun, tahapnya berbeza-beza terhadap orang di sekitar.  Teringat zaman sebelum saya bertemu suatu perubahan. Seorang guru yang marah-marah tidak akan mampu menundukkan saya untuk mendengar arahan. Begitu juga andai ada yang cuba menggunakan “reverse psychology” dengan saya. Ego saya akan semakin tinggi dan tidak memikirkan sebarang kesan. Sebaliknya seorang yang menggunakan cara yang yang lembut akan membuatkan saya mendengar arahan. Ketegasan dalam kelembutan. Prinsip yang saya pegang dalam pengurusan kerja saya. 
  3. Untuk situasi yang ketiga, saya ambil contoh seorang sahabat saya. (Saya mohon maaf andai ada yang terasa hati apabila membaca entri ini. Sama-sama perbaiki diri, insyaAllah..) Seorang sahabat yang saya pernah jumpa, yang mempunyai ego yang sangat tinggi. Dia tidak pernah menyuarakan apa yang dirasa. Apabila berselisih pendapat, dia akan tetap dengan pendapatnya. Lumrah bersahabat, pasti diuji. Pernah beberapa kali situasi menjadi dingin, saya beberapa kali menghantar sms atau surat menerangkan situasi juga memohon maaf. Namun, tak pernah satu usaha saya mendapat respon yang diharapkan. Biasanya dia akan menunjukkan sikap neutral keesokan harinya tanpa menyelesaikan perselisihan yang terjadi. Teringat kali terakhir, saya memberinya surat bersama gula-gula, cuba memaniskan keadaan. Juga tiada respon. Dia tidak pernah menjelaskan apa yang dia rasa atau punca masalah antara kami. Pada saya setiap perkara harus dijelaskan. Tidak boleh sekadar mengikut emosi. Bila rasa nak dingin, terus dingin. Bila rasa nak baik, tiba-tiba saja berbaik. Segala persoalan tidak terjawab. Akhirnya, perhubungan semakin hambar. Namun, saya gagal membuatkan dia mengikut cara saya. Akhir sekali saya bosan, lalu bermain mengikut rentaknya. 
  4.  Seterusnya, juga sahabat saya sebagai contoh. Sahabat ini terlalu baik. Semua orang senang dengannya. Boleh dikatakan egonya sangat-sangat direndahkan. Dia selalu mengutamakan orang lain. Apabila bersamanya, ada kala saya terasa nak marah. Dia terlalu mudah dibuli dan hanya membiarkan dirinya dibuli. Kata-kata maaf sering terucap di bibirnya. Dia sangat merendah diri. Pernah saya cuba mengajar atau menyemai sedikit ego agar dia tidak terlalu menunjukkan rasa rendah diri, agar tidak terlalu menunjukkan tiadanya keyakinan diri. Dia sering diketawakan. Mungkin kerana semua orang suka dengar dia bercakap. Namun, saya menginginkan dia dihormati. Disukai dan dihormati. 

IMPLIKASI EGOISME 

Tahap ego berbeza-beza mengikut individu seperti yang telah diterangkan di atas. Ego yang tinggi boleh menjadikan seseorang sukar untuk berhubung. “Egoisme inilah yang telah mencabut rasa percaya satu sama lain di antara masyarakat, yang memutuskan ikatan kasih sayang antara anggota keluarga, dan melemahkan ikatan kemanusiaan antar manusia. Sehingga seorang tetangga menjauh dengan tetangganya, dan seorang sahabat menghindar dari sahabatnnya, pada saat kita sedang amat membutuhkan kerjasama untuk menghadapi kesulitan-kesulitan dan problem kehidupan.” (Dr. Mushthafa as Siba`I, 1374)

Sebaliknya ego yang terlalu rendah pula ada kalanya membuatkan orang memandang rendah. Bukan pandangan orang yang saya pentingkan di sini. Namun, untuk menjadi seorang individu yang bernilai, terutamanya untuk menjadi dai’e yang dakwahnya berkesan, seni berhubung sangat penting. Penilaian luaran manusia juga penting.

PENYELESAIAN

Perlukah ego dihapuskan? Kita boleh mengkaji balik perkembangan psikologi manusia daripada bayi sehingga dewasa. Ada tiga tahap perkembangan psikologi, id, ego, superego. Saya tak akan terangkan lebih lanjut di sini. Namun, kita dapat lihat, ego adalah sesuatu yang normalnya wujud dalam diri setiap individu. Jadi, tidak seharusnya kita cuba menghapuskan ego. Dan sememangnya ego itu tidak dapat dihapuskan. Yang perlu dihapuskan adalah penyakit-penyakit hati seperti hasad dengki, iri hati, sombong, bangga diri, riak dan sifat-sifat mazmumah yang lain. 

Sebaiknya, uruslah ego dengan baik. Jika dilihat, ego bukanlah masalah. Orang yang tinggi egonya boleh terus berhubung sekiranya tahu seni berhubung dan mahu mengamalkannya. Walaupun mempunyai ego yang tinggi, jangan menafikan “common sense” yang ada. Misalnya kita sedar kita harus memberitahu perasaan kita agar orang lain tidak salah faham. Turunkanlah ego sekejap. Kita hanya hamba yang tak perlukan pengiktirafan yang terlalu tinggi. Jadi andai ego perlu diturunkan, tiada apa yang nak dimalukan.

Saya sendiri masih belajar merendahkan ego. Saya cuba menurunkan ego setelah bergelar dai’e. Kalau dulu seorang kawan tidak respon sms saya, dia takkan terima sms lagi daripada saya sehinggalah dia sendiri yang hubungi saya dulu. Namun, peranan sebagai naqibah tidak membenarkan saya meneruskan sikap begitu. Saya akan tetap sms adik-adik usrah walaupun tanpa sepatah respon daripada mereka. Walau mereka tidak datang usrah. SMS sorang demi sorang tanya kenapa. Kemudian tunggu respon walaupun tak semua akan respon. Bila berjumpa, saya masih perlu memaniskan muka, menegur dengan mesra walaupun mereka sudah lama meninggalkan usrah. Walaupun ada yang bersikap dingin. Pernah juga menitis air mata. Namun, perasaan tak sepenting gerak kerja dakwah. 

Begitu juga dengan sahabat-sahabat. Kita masih perlu melakukan dakwah dan islah. Dai’e jangan mudah berputus asa. Andai perasaan sendiri lebih dipentingkan dan penatnya usaha ingin dihitung, macam mana usaha dakwah akan berterusan? Namun, saya juga manusia yang ada kalanya bermain dengan emosi. Apa yang tertulis di atas mungkin lebih banyak teori daripada aplikasi. Astaghfirullahal’azim.. Marilah sama-sama kita perbaiki diri. InsyaAllah..