Monday, July 23, 2012

CERPEN : IMPIAN HATI EYJA HAZZYIE



Butir-butir jernih mula menitis…  Bait-bait lagu Iman Adalah Mutiara seakan menari-nari di kotak fikirannya. “Iman tak dapat diwarisi dari seorang ayah yang bertaqwa...Ia tak dapat dijual beli, ia tiada di tepian pantai...”. Ya, iman bukan warisan. Eyja mengakuinya. Siapa yang mencarinya akan menjumpainya, tetapi sesiapa yang mengabaikannya pasti tidak sedar akan kehadirannya. Namun, hatinya sayu dalam pencarian. Eyja mengimpikan semua yang hidup di sekelilingnya sama-sama berusaha mencari “iman”. Berhadapan dengan kemungkaran yang berlaku di depan mata, dia meyoal diri “apakah yang mampu aku lakukan?”. Seringkali Eyja menyampaikan dengan cara yang terbaik yang dia mampu. Namun, apabila dia diabaikan, kata-katanya dipermainkan, malah hukum-hukum Allah diringankan, biasanya dia terdiam. Diam menahan kolam matanya yang kian pecah. Dia kemudian menyendiri bersama tangisan dalam pengaduan kepada Allah.

“Seorang dai’e perlu kuat, bersungguh-sungguh, sabar dan sentiasa berfikiran positif. Dai’e tidak boleh mudah berputus asa, tidak boleh mudah kecewa. ”

Eyja cuba memujuk hati yang pilu. Pernah suatu hari dulu, dia juga menangis menunggu adik-adik usrah yang tidak menampakkan muka. Aku juga tidak sempurna, banyak lagi kelemahan dan kekurangan yang perlu diubah, bisik hatinya. Namun, apabila ingin berubah, dia ingin sama-sama berubah bersama semua yang ada di sekelilingnya. Dia tidak merasakan harapan ini suatu yang mustahil. Namun, dia sedar impian ini memerlukan usaha yang luar biasa. Dan untuk itu dia perlukan satu kekuatan yang luar biasa. Dia yakin bahawa Allahlah yang memegang hati setiap manusia. Usahanya sebelum ini mungkin belum cukup. Teringat Eyja kepada kata-kata  yang pernah dibacanya di dalam sebuah buku sebelum ini.

“Kita mengatakan kita sayangkan mereka. Kita ingin mereka berubah. Kita sudah banyak berusaha. Tetapi adakah usaha kita bersungguh-sungguh sehingga sanggup bangun solat dan berdoa untuk mereka? Adakah kita doakan setiap daripada mereka setiap kali sesudah solat, lima kali sehari? Adakah usaha yang sedikit kita sudah merasa cukup untuk berputus asa sekarang?” 

Eyja tidak ingin menjadi idola setiap manusia. Dia hanya ingin menyampaikan dakwah dengan berkesan. Setiap manusia yang punya kesedaran pasti menginginkan yang terbaik buat insan-insan yang disayanginya. Dan untuk menyampaikan dakwah itu tak mudah. Dalam sejarah, kita melihat pelbagai dugaan dan halangan yang terpaksa dihadapi Rasulullah S.A.W. dalam menyampaikan risalah Islam. Baginda malah dicaci, dibaling batu, diejek dan dipulaukan.  Begitu juga penyambung rantai perjuangan Baginda yang kemudian. Hassan Al-Banna yang ingin menegakkan Islam kembali di Mesir setelah melihat pelbagai kemungkaran yang berlaku juga menghadapi halangan yang sukar. Ahli-ahli gerakan Ikhwanul Muslimin ditangkap, diseksa malah dibunuh. Hassan Al-Banna juga malah dibunuh. Eyja mula sedar, ujian yang dihadapinya baru sedikit. Tidak sehebat tokoh-tokoh terdahulu. Sudah tentu belum masanya untuk dia mengalah. 

 
*****************************************************

Hari yang indah semakin melabuhkan tirai. Cahaya terik sang suria sudah tidak kelihatan. Hari yang kian merangkak senja menunggu sang matahari beradu. Di kamarnya, Eyja membatu. Jauh dia termenung memikirkan permulaan kepada segalanya. Eyja bukanlah dilahirkan dalam keluarga alim dan dibesarkan dalam suasana “islamik”. Namun dia bersyukur dalam kejahilannya, dia masih kenal Allah Yang Menciptakan dirinya dan dia juga diajar cara menunaikan solat dan kewajipan berpuasa. Itulah Islam yang dikenalinya. Tetapi bila bercerita soal iman, dia menyerah. Solat satu kewajipan tetapi dilakukan bila mahu. Akhlak Islam yang patut ditonjolkan entah ke mana hilangnya. Pendidikan Islam yang diajar di sekolah hanyalah satu subjek yang perlu dipelajari untuk lulus peperiksaan. Kesedaran mula tersuntik ke dalam jiwanya  sejak melihat kehidupan seorang muslim yang sebenar ketika dia tinggal di asrama.  Saat itu, dia menyedari kejahilannya sebagai seorang muslim. Dia sedar ada sesuatu yang perlu diubah. 

“Sesungguhnya Allah S.W.T. tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum , sehingga mereka sendiri beruasaha mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” [Ar-Ra’d : 11]

Sejak itu, Eyja mula mencari. Mencari sesuatu yang dia perlukan dalam hidupnya. Dia yakin dia perlukan satu perubahan yang besar. Dan perubahan ini bukan hanya untuk dirinya sendiri, malah melibatkan seluruh ummah... Dia mahu menjadi pumburu yang sentiasa memburu iman..memburu cinta Ilahi... “Sesiapa diriku sebelum ni tidak sepenting siapa aku sekarang” Eyja memahat kata-kata itu pada sekeping hati miliknya. 

No comments:

Post a Comment