Sunday, June 10, 2012

Umat Islam Mesti Bersatu

 Bismillahirrahmanirrahim...
Post saya kali ni agak sedikit berbeza daripada post-post sebelum ni yang lebih bersifat motivasi perasaan. Saya ingin menyuntik sedikit semangat untuk kita sama-sama berusaha memperjuangkan Islam..InsyaAllah.. ^___^

 Pelbagai masalah kita dengar sekarang.. Apa yang dikatakan sebagai masalah? Bila mana sesuatu perkara itu tidak berlaku seperti yang sepatutnya, itu adalah definisi masalah yang akan saya bincangkan di sini. Contohnya, isu dunia yang sering diperkatakan sekarang, kekejaman Rejim Bashar di Syria, Kekejaman Rejim Israel di Palestin dan apa yang berlaku di Kashmir. Semakin ramai manusia yang mati setiap hari, wanita-wanita dicabul kehormatannya dan kanak-kanak sewenang-wenangnya dibunuh dengan cara yang kejam. Apabila manusia pertama kali melihat imej-imej kekejaman tersebut, mereka sering meluahkan perasaan marah dan berkata mahu melakukan sesuatu. Namun, berita-berita kekejaman yang bertali-arus, akhirnya tidak berupaya untuk menarik perhatian mereka lagi.  Reaksi masyarakat ketika awal-awal konflik dan peperangan, akhirnya telah digantikan dengan sikap acuh tak acuh dan tidak ambil kisah. 

"Itu di luar...nasib baik Malaysia aman...alhamdulillah..."

Saudara-saudara yang saya sayang kerana Allah... Sanggupkah kita mengeluarkan ayat sedemikian sedangkan mereka saudara seaqidah kita?

"Tidak beriman (tidak sempurna iman) seseorang itu sehinggalah dia mengasihi saudara seislamnya, sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri" [HR Bukhari dan Muslim]

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara..." [al-Hujurat :10]

Mengapa kamu enggan berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah baik lelaki, wanita, mahupun kanak-kanak yang semuanya berdoa: "Ya Tuhan kami. Keluarkanlah kami dari negeri ini yang mempunyai penduduk yang zalim, dan berilah kami pelindung dari sisi-Mu. Dan berilah kami penolong dari sisi-Mu." [An-Nisaa': 75]

"Apa yang saya boleh buat?"

Jika kita tak mampu pergi ke sana membantu mereka, sekurang-kurangnya bantulah membangkitkan Islam di Malaysia. Mudah-mudahan suatu hari bila Islam bangkit memerintah dunia dengan keamanan mengikut syariat, kita telah menyumbang sesuatu. Jika di sana kita nampak kekejaman terhadap umat Islam.. Ini masalah ummah yang perlu kita fikirkan, agar kita membuktikan kita sebahagian daripada umat Islam. 

Namun, suatu perkara yang ramai tidak sedar, Islam telah hilang daripada praktik hidup masyarakat. Khususnya di Malaysia, kita sering dengar berlakunya masalah sosial, pembuangan bayi, kes murtad berleluasa, masalah aurat dan pergaulan bebas. Ramai yang masih memandang ringan. Ini juga masalah ummah yang perlu kita fikirkan. Kenapa berlakunya masalah sebegini? Jawabnya, kerana ramai yang menolak ajaran Islam yang sebenar. 

Penolakan umat terhadap Islam berpunca dari ‘aqidah yang lemah. ‘Aqidah yang tidak berfungsi untuk kembali kepada Islam sebagai cara hidup. ‘Aqidah yang sakit lantaran dipengaruhi dan diserang cara hidup bukan Islam. Islam sebagai ad-Din turut dagang di hati orang-orang yang mengaku beriman. Rasa cinta kepada Islam sebagai cara hidup yang Allah redhai sudah tiada. Rasa keperluan kepada pembentukan masyarakat Islam juga tiada.

Masalah ummah bererti masalah bersama. Rasulullah S.A.W. bersabda :

Sesiapa di antara kamu yang ternampak kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya (kuasa). Sekiranya dia tidak mampu, maka hendaklah dia mengubahnya juga dengan lidahnya. Jika dia tidak mampu juga maka dengan hatinya. Itulah selemah-lemah iman." [HR Muslim]
 
‘Orang Islam adalah saudara bagi orang Islam yang lain, yang mana tidak boleh menzalimi antara satu sama lain, dan jangan mengabaikan pertolongan kepadanya dan sesiapa yang menunaikan hajat saudaranya, Allah sentiasa menunaikan hajatnya, dan sesiapa yang melepaskan saudaranya daripada bala atau sebarang kesusahan, Allah akan melepaskan kesusahannya pada hari qiamat dan sesiapa yang menutup keaiban saudaranya, Allah akan menutup keaibannya pada hari kiamat.’ (Riwayat Bukhari Dan Muslim, Abu Daud)

 
Dulu jika ditanya matlamat hidup, ada yang mengatakan "ingin jadi orang yang berguna kepada agama, bangsa dan negara". Jika kini kita berpeluang menyumbang kepada agama dan negara, ayuh buat sesuatu...!

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan di tengah umat manusia, kamu menyeru pada kema’rufan dan mencegah dari kemunkaran dan beriman dengan Allah.” [‘Ali Imran: ayat 110]

Namun, fitrah manusia itu lemah. Dan Allah jadikan kita saling memerlukan. Seandainya kita bersendirian, pasti sukar untuk kita jalankan tanggungjawab kita sebagai khalifah di muka bumi ini.  Jadi, umat Islam perlu bersatu, bergerak bersama demi memperjuangkan Islam. Libatkan diri dengan gerakan Islam. Berjayalah anggota-anggota gerakan jika Iman mereka dibentuk dan melahirkan akhlak terbaik, mengajak kepada ma’ruf terutama ma’ruf dan mencegah munkar terutama munkar pada diri, keluarga dan masyarakat. 
“Sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang berjihad dijalannya dalam barisan seolah-olah satu binaan yang tersusun kukuh”[As Saff ayat 4]


No comments:

Post a Comment