Tuesday, June 19, 2012

Ujian Perasaan

Bismillahirrahmanirrahin...

Aku sentiasa bersyukur kerana tidak pernah diuji dengan 'cinta'. Terfikir selama ini Dia melindungiku daripada pergaulan bebas. Adik beradikku yang semuanya perempuan menjadikan aku tak biasa dengan lelaki. Hubungan dengan sepupu lelaki pun boleh dikira terjaga batas pergaulannya. Banyak kisah 'cinta' yang aku lihat melalui pengalaman sahabat dan orang-orang terdekat. Pernah orang tanya "awak ada pengalaman pahit dengan lelaki ke?". Terkejut dengan pertanyaan ni. Janggal sangat ke reaksi aku bila berurusan dengan lelaki? Aku tak ada pengalaman pahit, malah tak ada apa-apa pengalaman pun. Cumanya aku sukar percaya insan bernama lelaki. Ketika dunia jahilku sebagai muslim yang bermasalah, aku masih terpelihara daripada maksiat pergaulan bebas. Dan aku percaya, Allah sentiasa menjaga diriku dengan mengutuskan sahabat-sahabat yang baik untuk menjagaku. Sehingga kini, Allah berikan aku kefahaman Islam yang sebenar. Dan semuanya berlaku atas kehendak dan izin Allah SWT. Alhamdulillah... 

Saat melihat sahabat-sahabat bergaduh, menangis, marah kerana seorang lelaki, aku bersyukur kerana tidak diuji sebegitu. Sedih melihat sahabat-sahabat yang kian hanyut dek rasa cinta yang dilayan. Pernah aku menegur hingga hampir putus hubungan persahabatan. Aku faham, sangat sukar untuk berlawan dengan perasaan sendiri. Hanya orang yang betul-betul kuat mampu mengurus situasi ini dengan minda yang terarah mengikut syariat. Dan bermujahadah itu bukanlah suatu perkara yang mudah. Aku bangga dengan seorang sahabat yang bersungguh-sungguh menjaga hati waktu berhadapan dengan perasaan cinta.

Allah menguji hambanya mengikut kemampuan kita. Saat aku diuji dengan cinta. Lemah. Sungguh, aku tak kuat. Fokusku dicuri sedangkan aku sedang menghadapi peperiksaan. Menangis aku sambil bedoa mengharap diriku selamat dari fitnah yang satu ni. Aku tak ingin menyimpan perasaan. Aku tak ingin diberi harapan. Soal jodoh kuserah pada Dia yang memegang hatiku. Aku tidak menolak sesiapa. Juga aku tak menerima sesiapa. Sampai masa, bila aku bersedia, pasti Allah hadirkan dia...

Aku makin takut. Bila ada yang mendekati, aku pasti tertanya "adakah ini urusan?". Aku takut untuk membalas mesej yang tak penting. Mungkinkah meter waspada aku terlebih sensitif? atau aku yang perasan? Mungkin juga, ini kesan tarbiyyah yang aku terima selepas membaca buku Cinta High Class. Aku ingin lebih menjaga hati. Biarlah apa istilahnya, yang pasti, aku ingin selamat. Selamat daripada maksiat. Aku tak ingin berdiri di tebing yang memungkinkan aku tergelincir jatuh ke jurang yang sangat dalam.

Wahai lelaki,
Jangan pernah memberi harapan jika itu akan menyakiti wanita,
Berfikirlah sebelum mengambil tindakan,
Jangan sampai menimbulkan salah faham.

Wahai bakal suamiku,
Jika aku menjadi pilihanmu, 
Jangan kau dekati diri ini,
Mungkin kau akan mendatangkan kemarahanku,
Kerana mencuri perhatianku daripada Tuhanku,
Mencuri kasihku dari kedua ibu ayahku,
Mencuri fokusku dari palajaranku.

Wahai bakal suamiku,
Andai benar kau bersungguh,
Siapkan dirimu pemuda pejuang agama,
Dekati waliku bila bersedia,
Bila aku redha agama dan akhlakmu,
InsyaAllah tiada alasan untukku menolak dirimu...

No comments:

Post a Comment