Tuesday, June 19, 2012

Ujian Perasaan

Bismillahirrahmanirrahin...

Aku sentiasa bersyukur kerana tidak pernah diuji dengan 'cinta'. Terfikir selama ini Dia melindungiku daripada pergaulan bebas. Adik beradikku yang semuanya perempuan menjadikan aku tak biasa dengan lelaki. Hubungan dengan sepupu lelaki pun boleh dikira terjaga batas pergaulannya. Banyak kisah 'cinta' yang aku lihat melalui pengalaman sahabat dan orang-orang terdekat. Pernah orang tanya "awak ada pengalaman pahit dengan lelaki ke?". Terkejut dengan pertanyaan ni. Janggal sangat ke reaksi aku bila berurusan dengan lelaki? Aku tak ada pengalaman pahit, malah tak ada apa-apa pengalaman pun. Cumanya aku sukar percaya insan bernama lelaki. Ketika dunia jahilku sebagai muslim yang bermasalah, aku masih terpelihara daripada maksiat pergaulan bebas. Dan aku percaya, Allah sentiasa menjaga diriku dengan mengutuskan sahabat-sahabat yang baik untuk menjagaku. Sehingga kini, Allah berikan aku kefahaman Islam yang sebenar. Dan semuanya berlaku atas kehendak dan izin Allah SWT. Alhamdulillah... 

Saat melihat sahabat-sahabat bergaduh, menangis, marah kerana seorang lelaki, aku bersyukur kerana tidak diuji sebegitu. Sedih melihat sahabat-sahabat yang kian hanyut dek rasa cinta yang dilayan. Pernah aku menegur hingga hampir putus hubungan persahabatan. Aku faham, sangat sukar untuk berlawan dengan perasaan sendiri. Hanya orang yang betul-betul kuat mampu mengurus situasi ini dengan minda yang terarah mengikut syariat. Dan bermujahadah itu bukanlah suatu perkara yang mudah. Aku bangga dengan seorang sahabat yang bersungguh-sungguh menjaga hati waktu berhadapan dengan perasaan cinta.

Allah menguji hambanya mengikut kemampuan kita. Saat aku diuji dengan cinta. Lemah. Sungguh, aku tak kuat. Fokusku dicuri sedangkan aku sedang menghadapi peperiksaan. Menangis aku sambil bedoa mengharap diriku selamat dari fitnah yang satu ni. Aku tak ingin menyimpan perasaan. Aku tak ingin diberi harapan. Soal jodoh kuserah pada Dia yang memegang hatiku. Aku tidak menolak sesiapa. Juga aku tak menerima sesiapa. Sampai masa, bila aku bersedia, pasti Allah hadirkan dia...

Aku makin takut. Bila ada yang mendekati, aku pasti tertanya "adakah ini urusan?". Aku takut untuk membalas mesej yang tak penting. Mungkinkah meter waspada aku terlebih sensitif? atau aku yang perasan? Mungkin juga, ini kesan tarbiyyah yang aku terima selepas membaca buku Cinta High Class. Aku ingin lebih menjaga hati. Biarlah apa istilahnya, yang pasti, aku ingin selamat. Selamat daripada maksiat. Aku tak ingin berdiri di tebing yang memungkinkan aku tergelincir jatuh ke jurang yang sangat dalam.

Wahai lelaki,
Jangan pernah memberi harapan jika itu akan menyakiti wanita,
Berfikirlah sebelum mengambil tindakan,
Jangan sampai menimbulkan salah faham.

Wahai bakal suamiku,
Jika aku menjadi pilihanmu, 
Jangan kau dekati diri ini,
Mungkin kau akan mendatangkan kemarahanku,
Kerana mencuri perhatianku daripada Tuhanku,
Mencuri kasihku dari kedua ibu ayahku,
Mencuri fokusku dari palajaranku.

Wahai bakal suamiku,
Andai benar kau bersungguh,
Siapkan dirimu pemuda pejuang agama,
Dekati waliku bila bersedia,
Bila aku redha agama dan akhlakmu,
InsyaAllah tiada alasan untukku menolak dirimu...

Wednesday, June 13, 2012

Cinta dan Bercinta

Macam-macam aplikasi kat facebook sekarang. Cuba je la mana yang baik. Nak kata saya peminat setia Ustaz Azhar Idrus, tak la sangat sebenarnya. Mana-mana ceramah yang menyampaikan ilmu yang bermanfaat dan cara penyampaiannya boleh diterima, saya dengar ja..InsyaAllah. Tapi saya akui Ustaz Azhar Idrus sangat diminati remaja sekarang. Tertarik dengan pesanan yang saya dapat melalui aplikasi ni.

 


Peringatan ni sedikit sebanyak menyedarkan saya dan menguatkan usaha dalam menjaga hati. InsyaAllah.. Satu perkara saya nak share kat sini, iaitu perbezaan "cinta" dan "bercinta". Perasaan cinta itu fitrah. Setiap insan yang dilahirkan normal di bumi ni pasti ada perasaan cinta, ingin mencintai dan dicintai. Tapi persoalannya, bagaimanakah cara yang sepatutnya kita sebagai umat Islam gunakan untuk mengurus fitrah ini. Masalah yang berlaku sekarang bila wujudnya rasa cinta ataupun sekadar suka, manusia lebih memilih untuk melahirkan perasaan ini dalam satu perbuatan yang tidak sepatutnya iaitu "bercinta". Bila sudah bercinta, akan berlaku pelbagai rentetan masalah lain seperti sms yang bertali arus, bergayut sehingga lewat malam, dating, dan akhirnya boleh membawa kepada zina. Na'uzubillah...semoga kita dilindungi daripada penyakit ni...

Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk. [Al-Israa' : 32]

  
Saya pernah berbincang dengan seorang sahabat berkenaan menjaga hati. "Apa nak buat kalau dah jatuh hati?" Hurmm...tak mudah nak jaga hati, terutamanya bila jatuh hati pada seseorang. Setiap masa anda akan nampak bayangan dia. Malah mungkin ketika solat pun bayangan dia tetap mengganggu. Jika saya berada dalam situasi ni, pasti saya rasa nak marah pada insan yang mencuri tumpuan saya ni. Tapi, bila difikir kembali, salah dia atau salah kita sendiri? Fikirkanlah...Kalau anda benar-benar nak selamatkan hati pada masa ini, itu sangat memerlukan mujahadah yang kuat dan berterusan. Suburkan dahulu rasa cinta kepada Dia Yang Menciptakan...
Seseorang yang tidak mampu mencintai Allah S.W.T. yang telah Menciptakan dirinya, dia tidak akan mampu mencintai anda dengan baik... Dan seseorang yang mencintai anda tidak akan mengajak anda melakukan maksiat ataupun dosa..tetapi dia akan mengajak anda sama2 ke Jannah..

Tapi kalau dah cuba tak boleh jugak...,, kahwin je la..selesai.. Kalau ada keraguan untuk kahwin sekarang, sila baca buku di bawah ni. Saya sendiri belum baca sebab takut dengan risiko yang tertulis kat muka depan buku tu.. InsyaAllah, bila dah jumpa calon, saya akan cari buku ni... 


Sunday, June 10, 2012

Umat Islam Mesti Bersatu

 Bismillahirrahmanirrahim...
Post saya kali ni agak sedikit berbeza daripada post-post sebelum ni yang lebih bersifat motivasi perasaan. Saya ingin menyuntik sedikit semangat untuk kita sama-sama berusaha memperjuangkan Islam..InsyaAllah.. ^___^

 Pelbagai masalah kita dengar sekarang.. Apa yang dikatakan sebagai masalah? Bila mana sesuatu perkara itu tidak berlaku seperti yang sepatutnya, itu adalah definisi masalah yang akan saya bincangkan di sini. Contohnya, isu dunia yang sering diperkatakan sekarang, kekejaman Rejim Bashar di Syria, Kekejaman Rejim Israel di Palestin dan apa yang berlaku di Kashmir. Semakin ramai manusia yang mati setiap hari, wanita-wanita dicabul kehormatannya dan kanak-kanak sewenang-wenangnya dibunuh dengan cara yang kejam. Apabila manusia pertama kali melihat imej-imej kekejaman tersebut, mereka sering meluahkan perasaan marah dan berkata mahu melakukan sesuatu. Namun, berita-berita kekejaman yang bertali-arus, akhirnya tidak berupaya untuk menarik perhatian mereka lagi.  Reaksi masyarakat ketika awal-awal konflik dan peperangan, akhirnya telah digantikan dengan sikap acuh tak acuh dan tidak ambil kisah. 

"Itu di luar...nasib baik Malaysia aman...alhamdulillah..."

Saudara-saudara yang saya sayang kerana Allah... Sanggupkah kita mengeluarkan ayat sedemikian sedangkan mereka saudara seaqidah kita?

"Tidak beriman (tidak sempurna iman) seseorang itu sehinggalah dia mengasihi saudara seislamnya, sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri" [HR Bukhari dan Muslim]

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara..." [al-Hujurat :10]

Mengapa kamu enggan berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah baik lelaki, wanita, mahupun kanak-kanak yang semuanya berdoa: "Ya Tuhan kami. Keluarkanlah kami dari negeri ini yang mempunyai penduduk yang zalim, dan berilah kami pelindung dari sisi-Mu. Dan berilah kami penolong dari sisi-Mu." [An-Nisaa': 75]

"Apa yang saya boleh buat?"

Jika kita tak mampu pergi ke sana membantu mereka, sekurang-kurangnya bantulah membangkitkan Islam di Malaysia. Mudah-mudahan suatu hari bila Islam bangkit memerintah dunia dengan keamanan mengikut syariat, kita telah menyumbang sesuatu. Jika di sana kita nampak kekejaman terhadap umat Islam.. Ini masalah ummah yang perlu kita fikirkan, agar kita membuktikan kita sebahagian daripada umat Islam. 

Namun, suatu perkara yang ramai tidak sedar, Islam telah hilang daripada praktik hidup masyarakat. Khususnya di Malaysia, kita sering dengar berlakunya masalah sosial, pembuangan bayi, kes murtad berleluasa, masalah aurat dan pergaulan bebas. Ramai yang masih memandang ringan. Ini juga masalah ummah yang perlu kita fikirkan. Kenapa berlakunya masalah sebegini? Jawabnya, kerana ramai yang menolak ajaran Islam yang sebenar. 

Penolakan umat terhadap Islam berpunca dari ‘aqidah yang lemah. ‘Aqidah yang tidak berfungsi untuk kembali kepada Islam sebagai cara hidup. ‘Aqidah yang sakit lantaran dipengaruhi dan diserang cara hidup bukan Islam. Islam sebagai ad-Din turut dagang di hati orang-orang yang mengaku beriman. Rasa cinta kepada Islam sebagai cara hidup yang Allah redhai sudah tiada. Rasa keperluan kepada pembentukan masyarakat Islam juga tiada.

Masalah ummah bererti masalah bersama. Rasulullah S.A.W. bersabda :

Sesiapa di antara kamu yang ternampak kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya (kuasa). Sekiranya dia tidak mampu, maka hendaklah dia mengubahnya juga dengan lidahnya. Jika dia tidak mampu juga maka dengan hatinya. Itulah selemah-lemah iman." [HR Muslim]
 
‘Orang Islam adalah saudara bagi orang Islam yang lain, yang mana tidak boleh menzalimi antara satu sama lain, dan jangan mengabaikan pertolongan kepadanya dan sesiapa yang menunaikan hajat saudaranya, Allah sentiasa menunaikan hajatnya, dan sesiapa yang melepaskan saudaranya daripada bala atau sebarang kesusahan, Allah akan melepaskan kesusahannya pada hari qiamat dan sesiapa yang menutup keaiban saudaranya, Allah akan menutup keaibannya pada hari kiamat.’ (Riwayat Bukhari Dan Muslim, Abu Daud)

 
Dulu jika ditanya matlamat hidup, ada yang mengatakan "ingin jadi orang yang berguna kepada agama, bangsa dan negara". Jika kini kita berpeluang menyumbang kepada agama dan negara, ayuh buat sesuatu...!

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan di tengah umat manusia, kamu menyeru pada kema’rufan dan mencegah dari kemunkaran dan beriman dengan Allah.” [‘Ali Imran: ayat 110]

Namun, fitrah manusia itu lemah. Dan Allah jadikan kita saling memerlukan. Seandainya kita bersendirian, pasti sukar untuk kita jalankan tanggungjawab kita sebagai khalifah di muka bumi ini.  Jadi, umat Islam perlu bersatu, bergerak bersama demi memperjuangkan Islam. Libatkan diri dengan gerakan Islam. Berjayalah anggota-anggota gerakan jika Iman mereka dibentuk dan melahirkan akhlak terbaik, mengajak kepada ma’ruf terutama ma’ruf dan mencegah munkar terutama munkar pada diri, keluarga dan masyarakat. 
“Sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang berjihad dijalannya dalam barisan seolah-olah satu binaan yang tersusun kukuh”[As Saff ayat 4]


Tuesday, June 5, 2012

Mencari Keredhaan Allah S.W.T.

Bismillahirrahmanirrahim...

Mencari keredhaan Allah...ini pastinya matlamat setiap muslim yang faham tujuan hidup manusia di dunia ini. InsyaAllah, ini juga matlamat saya. Susah ke nak dapat keredhaan Allah? Buat apa yang Allah suruh, tinggal apa yang Dia larang.. Senang jawapannya, tapi susah untuk mengaplikasikan sebab jalan ke arah mencari keredhaan Allah memerlukan mujahadah yang tinggi.

Suatu tindakan drastik yang saya buat sangat menimbulkan kegusaran. Risau pandangan manusia dan kesan akibatnya. Andai sesiapa terluka kerananya, hanya maaf yang mampu saya pinta. Tiada niat untuk mengguris mana-mana hati apatah lagi melukakan. Saya hanya ingin cuba memberitahu diri untuk lebih menegakkan Islam dalam diri sebelum berbicara untuk menegakkan Islam di bumi ini.

"Tegakkan Islam dalam dirimu, nescaya Islam akan tertegak di atas bumimu." - Syeikh Hassan al-Hudhaibi, Mursyidul Am Ikhwan ke-2
 
Dan hati lebih tenang selepas tindakan itu dibuat. InsyaAllah, matlamatku demi mencari redha Allah... Satu keyakinan saya pasakkan, Allah Membenarkan perkara itu terjadi setelah saya mohon kekuatan untuk melakukannya. Jadi, saya yakin ada hikmah di sebaliknya. Namun, ini bukan bermakna saya tak pedulikan mereka di sekeliling. Kerana tindakan ini juga dibuat setelah mengambil kira penerimaan dan pemahaman mereka. Mungkin cara yang kurang berhikmah...astaghfirullahal'azim...



Ya Allah.., 
Dalam memujiMu..,
Terasa begitu kerdil diri ini..,
Menyemai keinsafan dalam sanubari..,
Ingin aku mencintaiMu setulusnya..,
Terimalah diriku yang hina..