Friday, May 18, 2012

7 tips penting untuk menjadi sahabat yang baik


Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum wbt. dan selamat pagi.  

Di sini saya ingin berkongsi tips menjadi sahabat yang baik. Persahabatan adalah satu keperluan kepada manusia dan persahabatan merupakan sesuatu yang mulia di sisi semua agama. Setiap orang pasti memerlukan seorang sahabat kerana Allah SWT jadikan kita saling memerlukan. Jadi, apabila kita menyayangi sahabat kita, kita haruslah menjaga hati dia dengan menjadi sahabat yang baik. Ramai juga yang dah tahu ciri-ciri sahabat yang baik. Tapi, pernah terfikir tak, macam mana kita nak jaga hubungan dengan sahabat kita? 

Apabila kita tahu ciri-ciri sahabat yang baik, ada yang cuba untuk menjadi sahabat yang baik. Alhamdulillah. Ini merupakan usaha yang terpuji. Tetapi, ramai antara kita yang menunggu, mengharapkan sahabat yang baik muncul di sisi kita. Yang ni agak kurang tepat sebenarnya sebab kita perlu “menjadi”  bukannya “mencari”.


Sekarang mari kita lihat 7 tips penting untuk menjadi sahabat yang baik.

1)    Tips yang pertama ialah kenal, faham dan tolong menolong. Apabila kita berkawan dengan seseorang, kita mesti kena kenal dia dahulu. Bila dah kenal, kita tahu apa kekuatan dia dan di mana kelemahan dia. Tapi, tahu sahaja tak cukup, sebagai sahabat, kita mestilah menolong sahabat kita yang memerlukan pertolongan sama ada dari aspek sokongan moral, kewangan dan lain-lain. Seorang sahabat yang bagus tidak akan menunggu kawannya meminta pertolongannya sebaliknya menawarkan pertolongan sekiranya dirasakan perlu.

2)    Tips yang kedua ialah menjadi pendengar yang baik. Secara psikologinya, berkongsi masalah dapat meringankan beban yang ditanggung. Ini sebenarnya mengikut kepelbagaian individu. Ada orang yang suka bercerita dan ada juga yang memilih untuk menanggung sendiri masalah yang dihadapi. Sebab tu pentingnya untuk kita faham kawan kita. Seorang sahabat yang baik tidak akan pernah berasa terbeban mendengarkan masalah yang dihadapi sahabatnya.

3)    Tips yang ketiga ialah memuji dan menyampaikan pujian orang lain terhadap kawan kita. Pujian penting dalam perhubungan. Pujian juga dapat membantu meningkatkan estim diri sahabat kita. Tapi perlulah diingatkan, pujian haruslah diberikan mengikut situasi yang sesuai dan tidak bertujuan mengejek. Apabila mendengar pujian terhadapnya daripada orang lain, haruslah disampaikan kepadanya. Hati-hati jika kita berasa jengkel atau risau kawan kita mengetahui pujian ini kerana ini menunjukkan anda mungkin ada perasaan dengki dan iri hati terhadap kawan anda sendiri.


4)    Tips seterusnya iaitu yang keempat, tegurlah sahabat anda sekiranya dia melakukan kesilapan. Kita pasti tidak mahu melihat sahabat yang kita sayang melakukan perkara yang salah di sisi undang-undang negara, agama ataupun kesilapan dalam konteks hubungan sosial. Namun, teguran yang ingin disampaikan mestilah dengan cara yang sesuai yang boleh diterima olehnya. Sekiranya sahabat kita memerlukan masa untuk berubah atau faham teguran kita, berilah dia masa dan teruskan usaha. 

5)  Seterusnya, tips yang kelima iaitu menjaga komunikasi. Hubungan kita dengan sahabat kita setiap hari akan melibatkan komunikasi. Komunikasi yang berkesan perlu ada bagi mengelakkan masalah yang tidak diingini. Antara aspek penting dalam komunikasi dengan sahabat ialah tidak meninggikan suara, memaniskan muka, bertegur sapa apabila bertemu, serta memanggil dirinya dengan nama yang paling disukainya.

6)    Tips yang seterusnya ialah sentiasa berdoa untuk kesejahteraan sahabat. Ini antara tips yang penting kerana kita tahu bahawa setiap yang berlaku adalah dengan izin Tuhan. Setiap agama pun ada cara berdoa masing-masing. 

7)  Tips yang terakhir, untuk menjadi seorang sahabat yang baik, kita mestilah menunaikan hak-hak sahabat kita. Apa hak seorang sahabat ke atas diri kita? Yang ni biasanya kita tak sedar. Apabila kita bersahabat, sahabat kita tu ada hak ke atas diri kita misalnya hak untuk tahu keadaan kita, hak ke atas masa kita terutamanya di saat dia memerlukan seseorang, hak untuk diberi perhatian seperti ketika sakit.



No comments:

Post a Comment