Tuesday, December 13, 2011

KEHALUSAN PERASAAN

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian... 

Entri saya kali ni berkisar tentang pentingnya kehalusan perasaan yang Islam tekankan kepada kita. Saya berminat untuk berkongsi dengan sahabat-sahabat sekalian selepas membaca sebuah penulisan yang bertajuk "Kekuatan Kehalusan Perasaan", mohon maaf daripada penulis sebab tak ingat siapa penulis dan dari mana saya baca hasil penulisannya.


Kehalusan perasaan beerti sikap jiwa yang sentiasa ingin berbuat baik dan menyantuni orang lain dengan penuh kasih sayang.Kehalusan perasaan ini penting kerana ia akan  terlahir melalui sikap dan perbuatan kita. Jika dikira hasil tambah nilai setiap huruf, hanya A+T+T+I+T+U+D+E = 100. Bagaimana mahu mewujudkan "attitude" yang disenangi oleh semua? Senang..., ikutlah apa yang Islam suruh.

”Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Oleh kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, Maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya”. (QS Ali Imran : 159)

Badiuzzaman Said Nursi seringkali mengulangi di dalam Risalah Nurnya bahwa sesungguhnya kehalusan perasaan itu lebih tinggi dan utama nilainya daripada cinta.
Nabi Yaakob as yang menangis hingga buta matanya di atas kehilangan Nabi Yusuf as adalah hasil daripada kehalusan perasaan seorang Nabi dan juga seorang ayah.

Dengan kehalusan perasaan, kekurangan dan kelemahan saudara kita menambahkan :

1. Rasa ingin membantu.
2. Rasa ingin menolong.
3. Rasa ingin berkongsi.
4. Rasa ingin menguatkan.
5. Rasa kasihan dan simpati. 

Namun, perlu kita ingat, halusnya perasaan ini boleh jadi positif dan boleh jadi negatif. Jadi, yang kita mahukan ialah kehalusan perasaan yang positif seperti bersifat penyayang, santun berbicara, dan peka terhadap kesulitan orang lain. Contohnya :



1. Menyayangi keluarga, sahabat, pasangan dan binatang.

2. Santun dalam berbicara.



Rasulullah saw bersabda kepada isterinya, Aisyah r.a., ”Sesungguhnya di antara kelompok manusia yang paling buruk kedudukannya di sisi Allah ta’ala adalah mereka yang dijauhi manusia untuk menghindari kejahatannya”.

Hadits ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari berkaitan dengan kehairanan Aisyah ra. ketika melihat Rasulullah saw berbicara dengan lemah lembut kepada seseorang yang disebut oleh Rasulullah sebagai ”bi’sa akhul ’asyirah” (saudara kerabat yang buruk).



3. Peka terhadap kesulitan orang lain.

 

Seorang muslim seharusnya dapat merasakan suka duka yang dialami oleh saudara-saudaranya, kerana mereka hakikatnya adalah satu tubuh yang saling menguatkan.

Ibnu Abbas dalam suatu riwayat dari Baihaqi pernah diceritakan sejenak meninggalkan i’tikafnya, kerana dia pernah mendengar Nabi saw bersabda :



”Barangsiapa pergi untuk berusaha mencukupi keperluan saudaranya dan berhasil, itu lebih baik daripada beri’tikaf di masjid selama sepuluh tahun. Dan barangsiapa beri’tikaf sehari dengan niat ingin memperolehi keridhaan Allah, baginya Allah akan menjadikan tiga parit lebih jauh dari dua ufuk Timur dan Barat yang akan memisahkannya dari neraka”.



Begitulah kehalusan perasaan diwujudkan dalam kerangka sikap yang positif.

Sementara itu sifat mudah tersinggung, cepat marah, mudah kecewa juga lahir dari kelembutan dan kehalusan perasaan tetapi ini adalah kehalusan perasaan yang negatif yang harus kita jauhi. Kehalusan perasaan yang negatif ini akan memakan diri sendiri. Bagaimana nak atasi kehalusan perasaan yang negatif ini? Mungkin boleh menjadi tajuk entri saya yang seterusnya.


KEHALUSAN PERASAAN ITU DIPERINTAHKAN OLEH NABI

Imam At Thabrani meriwayatkan bahwa pada suatu ketika Rasulullah saw bersabda di hadapan para sahabat :
”Tidak sempurna iman kamu kecuali kamu berkasih sayang.”
Mendengar hal itu salah seorang sahabat berkata:
”Kami semua telah berkasih sayang..”.
Rasulullah saw kemudian menjelaskan :
”Sesungguhnya yang aku maksudkan bukanlah hanya berkasih sayang antara salah seorang kamu kepada sahabatnya (sesama mu’min), akan tetapi berkasih sayang ’aamah (secara umum)”
Sementara mereka yang berhati kejam dinilai oleh Nabi kita sebagai orang yang paling jauh dari Allah swt.



KEHALUSAN PERASAAN DAN DAKWAH

Dalam berdakwah, kelembutan dan kehalusan perasaan boleh menjadi salah satu daya tarikan dalam usaha untuk menarik simpati manusia.

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik…” (QS An-Nahl : 125)


Seorang pendakwah yang mempunyai dan menyemai kehalusan perasaan akan melihat semua orang yang diserunya dengan penuh rasa kasih sayang. Di samping itu dia juga menyampaikan dakwah dengan kehalusan perasaan tanpa menghukum sesiapa. Kelembutan akan membuatkan orang mendekati kita sedangkan bersikap keras dan berhati kasar akan membuatkan orang menjauhkan diri dari kita. Sifat lemah lembut apa pun alasannya mestilah didahulukan, bahkan ketika kita berhadapan dengan orang yang paling ingkar sekalipun.

Perkara ini berdasarkan firman Allah swt :
”Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, Mudah-mudahan ia ingat atau takut”. (QS Thaha : 44)
Ayat ini adalah perintah Allah kepada Nabi Musa dan Harun untuk berdakwah kepada Fir’aun yang terkenal dengan kesombongannya yang luar biasa, yakni mengaku sebagai tuhan. Jika kepada orang yang sejahat Fir’aun sekalipun kita mesti berlemah lembut, apalagi kepada saudara kita sesama muslim.

Tapi tentu sahaja ini bukan bererti menghilangkan sikap tegas dan keras kepada orang yang ingkar dan mempermainkan agama Allah. Namun mesti disedari bahwa tegas dan kerasnya seorang muslim, juga kerana adanya kehalusan perasaan.
Mereka berjihad hanyalah : 


1. Untuk menyeru manusia kepada Khaliq (Pencipta).
2. Berorientasi pada akhirat yang kekal.
3. Untuk menegakkan keadilan.
4. Untuk membebaskan manusia dari kezaliman.

Ya Allah, kurniakanlah kehalusan perasaan dan kelembutan dalam hati dan diri kami sehingga dengan sikap itu kami mampu memecahkan tembok-tembok pemisah dalam hati manusia yang berhati keras sehingga memudahkan cahaya hidayahMu menembusi relung hati mereka dan mengalirkan kesedaran serta keinsafan betapa kita hanyalah hamba Allah yang lemah dan memerlukan bantuan dan pertolongan dari Yang Maha Gagah Perkasa. 


Ameen Ya Rabbal Alameen....

No comments:

Post a Comment